Selasa, 2 Ogos 2016

Pulau Pinang sudah reda, Terengganu bakal bergelora?

MUAMMAR QADDAFI
 
 
Angin gelora seperti membelok ke TerengganuAngin gelora seperti membelok ke Terengganu


DAP hari ini telah memuktamadkan bahawa pembubaran Dun Pulau Pinang tidak akan berlaku lebih awal apabila PKR tidak bersetuju dengan langkah itu.

Namun sebaliknya politik negeri Terengganu dikatakan bakal bergolak kembali apabila bekas menteri besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang juga adun Kijal menyatakan kesediaan beliau untuk dipecat dari Umno.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas berlaku desakan daripada ahli Umno yang memintanya dipecat berikutan kritikan kerasnya terhadap kerajaan dan Perdana Menteri yang juga presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sekiranya Ahmad dipecat, Umno Terengganu bakal kehilangan seorang Adun sekaligus menjadikan kedudukan dalam dewan undangan negeri 16-16 dan hilang sokongan majoriti sekaligus akan memberi ketidakstabilan kepada kerajaan sedia ada.

Samada Ahmad dipecat atau tidak, kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Ahmad Razif sebenarnya adalah sebuah kerajaan yang goyah.

Ditambah dengan hubungan yang tidak baik Ahmad Razif dengan Istana yang mengakibatkan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Razif telah ditarik balik pertengahan April yang lalu.

Menunggu sehingga PRU14 untuk membubarkan Dun dibimbangi akan menganggu kelancaran pentadbiran negeri.

Ahmad Said juga dikatakan masih ada penyokong dalam kalangan Adun BN Terengganu yang mampu mengikuti jejak beliau sekiranya beliau dipecat dari Umno mahupun keluar Umno. Hal ini sekaligus akan memberi kesan yang besar kepada kedudukan Umno dalam Dun Terengganu.

Langkah terbaik untuk UMNO menstabilkan kembali kedudukannya di Terengganu adalah dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri dan kembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih dan membentuk kerajaan baru sekiranya rakyat masih memberikan mandat kepada mereka untuk mentadbir kerajaan negeri Terengganu.

Tiada ulasan: