Selasa, 2 Ogos 2016

Peguam Dr M jelaskan mengapa MO1 tak dinamakan

Hafiz Yatim


LIHAT VIDEO DI SINI


‘Malaysian Official 1' yang jelas ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tidak dinamakan dalam dokumen mahkamah di Amerika Syarikat kerana beliau tidak memiliki sebarang aset yang akan dilucutkan haknya dan penyiasat terikat dengan konvensyen antarabangsa, kata peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata walaupun laporan Jabatan Kadilan (DOJ) tidak menamakan Najib secara langsung, ia tidak membebaskan perdana menteri daripada dakwaan penipuan atau sogokan berhubung dengan dana 1MDB.

Haniff, yang mewakili bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa prosiding mahkamah terhadap Najib berkata, begitu juga dengan pegawai-pegawai 1MDB yang tidak dinamakan secara langsung tidak bermakna mereka bebas daripada dakwaan penipuan.

Beliau berkata, tindakan mahkamah oleh DOJ itu menunjukkan bahawa asas tindakan adalah penipuan dalam 1MDB, dengan dana yang berasal dari Malaysia.

Hasil dana telah disalurkan keluar dari negara ini, termasuk ke Amerika Syarikat, dengan pembelian aset.

"Dokumen mahkamah juga menunjukkan terdapat sogokan, atau dana kemudian kembali ke Malaysia. Ia terletak dalam bidang kuasa Malaysia dan agensi-agensinya untuk menentukan sama ada terdapat unsur rasuah atau sogokan dan tindakan yang perlu diambil terhadap mereka.

"Bolehkah Amerika bertindak terhadap penipuan atau dakwaan rasuah? Tidak boleh, kerana di negara itu ia hanya melibatkan pengubahan wang haram, mereka tidak boleh bertindak (berhubung penipuan) di sana.

Mereka tidak boleh bertindak ke atas 1MDB officials 1, 2 atau 3 atau juga Malaysian Official 1 di sana.

"Ini tidak bermakna mereka yang terbabit itu tidak terlibat dalam penipuan atau sogokan. Rakyat perlu memahami ini adalah daripada dokumen mahkamah," kata Haniff.

Tindakan boleh diambil ke atas mereka di Malaysia, kata peguam itu.

Haniff berkata demikian dalam tiga rakaman video mengenai isu 1MDB dan dokumen DOJ, yang telah dirakamkan oleh blogger Dinturtle dan disiarkan di blog dan juga di Facebook peguam itu.

Daripada kertas mahkamah, DOJ melaporkan Malaysian Official 1 menerima wang AS$731 juta, kononnya daripada dana 1MDB.

Tiada ulasan: