Jumaat, 5 Ogos 2016

PAS sedia ambil alih Terengganu adalah pendirian parti - Nik Zawawi

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menegaskan kesediaan parti untuk mengambil alih Terengganu sekiranya berlaku pilihan raya mengejut, adalah keputusan parti dan bukanlah pendirian peribadi Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Malah beliau menolak kemungkinan wujudnya perbezaan pandangan berhubung perkara ini antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalan presiden seperti yang pernah berlaku sebelum ini. 
 
"Itu adalah pendirian parti iaitu mana-mana negeri di dalam negara ini PAS bersedia untuk ambil alih," katanya ringkas ketika dihubungi Antarapos di sini hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tuan Ibrahim bahawa PAS bersedia mengambil alih kerajaan negeri Terengganu dan akan menyokong usaha ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said untuk menggulingkan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.
 
Menurut Tuan Ibrahim, PAS akan meneruskan usaha berkenaan melalui undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif atau menuntut peletakan jawatannya sebagai menteri besar.
 
PAS sebelum ini mengambil pendirian berkecuali dalam isu cadangan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif.
 
Hadi ketika itu menegaskan PAS sama sekali tidak terlibat dalam krisis pentadbiran Terengganu dan menyerahkan kepada Umno untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi parti itu.
 
Katanya, PAS memberikan peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan isu tersebut hingga tamat penggal tempoh mandat yang diberikan pada Pilihan Raya Umum ke-13.
 
Sebelum ini, Presiden dan Timbalan Presiden PAS beberapa kali berlainan pendirian mengenai beberapa isu sehingga menyebabkan kekeliruan.
 
 

Tiada ulasan: