Khamis, 4 Ogos 2016

Noh perlu bersikap negarawan bukan ketua cawangan

HARAKAHDAILY





Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar perlu mengubah sikap kepada yang sepatutnya dimiliki oleh seorang Menteri Persekutuan.

Beliau perlu mengurangkan permainan politik tetapi memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk memberi pembelaan kepada rakyat.

Serangan beliau yang terkini terhadap Kerajaan Negeri Selangor adalah tidak tepat dan menyembunyikan banyak fakta.

Menurut beliau Kerajaan Persekutuan akan mengambil alih Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor kerana ia telah gagal diuruskan dengan baik.

Katanya Kerajaan Persekutuan telah membina PPR dan tugas kerajaan negeri adalah untuk memungut sewa.

Ingin ditegaskan di sini bahawa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Negeri Selangor pada Mac 2008 kerajaan yang baru telah mewarisi PPR yang sarat dengan pelbagai masalah.

Peruntukan jutaan ringgit

Sejak 2008, lebih RM8 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk membaikpulih PPR-PPR tersebut.

Contohnya pada tahun 2011 dan 2012 sahaja, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM3.1 juta untuk membaikpulih serta menggantikan lif dan pam air di PPR Lembah Subang 1 dan PPR Kota Damansara.

Untuk tahun 2016 sahaja, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menanggung kos RM4.7 juta untuk penyelenggaraan PPR Lembah Subang 1 seperti kerja-kerja pembersihan awam, kutipan sampah dan penyelenggaraan elektrikal.

Kos-kos tersebut tidak termasuk peruntukan RM7.5 juta pada Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor 2015 bagi PPR sepertimana berikut:

1) PPR Kota Damansara  -RM5 juta
2) PPR Kg Baru Hicom - RM1.1 juta
3) PPR Serendah - RM1.4 juta

Penambahbaikan

Selain dari itu terdapat banyak penambahbaikan yang telah diperkenalkan di PPR.

2 PPR iaitu PPR Kota Damansara dan PPR Kg Baru Hicom kini diuruskan dengan lebih profesional oleh syarikat Kerajaan Negeri, Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB).

MBPJ juga turut memberi tumpuan kepada PPR Lembah Subang 1 selain dari membelanjakan wang yang banyak untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Oleh itu, menteri tersebut perlu mendapat gambaran yang sebenar dengan banyak melakukan turun padang.

Janji tidak ditepati

Kerajaan negeri turut bimbang jika segala janji-janji yang ditaburkan oleh menteri itu tidak akan ditepati.

Pada Januari 2015, Noh selaku Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor telah mengumumkan peruntukan RM1.8 juta dari Kerajaan Persekutuan untuk membaikpulih kerosakan pendawaian elektrik dan jeriji penghadang di PPR Kota Damansara.

Tetapi kerajaan negeri yang telah melakukan kerja-kerja itu dan bukan Kerajaan Persekutuan. Peruntukan RM1.8 juta yang dijanjikan oleh Noh itu tidak kelihatan turun hingga ke hari ini.

Kerajaan Persekutuan perlu serius

Walau bagaimanapun perbincangan telah diadakan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengenai penyerahan PPR di Selangor.

Kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang halangan jika Kerajaan Persekutuan melalui satu SPV yang baru mahu mengambil alih PPR di Selangor.

2 PPR yang terlibat iaitu PPR Lembah Subang 1 dan PPR Serendah. Iaitu PPR yang terletak di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Tetapi adalah wajar Kerajaan Persekutuan mengembalikan kepada kerajaan negeri kos yang telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan untuk membaikpulih PPR-PPR tersebut. Dana tersebut akan dibelanjakan untuk kepentingan rakyat Selangor.

Kerajaan negeri juga berharap masalah yang membebani PPR Lembah Subang 2 yang dibina oleh kementerian tidak akan berulang.

PPR tersebut telah tidak dapat diduduki selama lebih 10 tahun kerana masalah-masalah itu.

Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan perlu serius jika mahu menguruskan PPR di Selangor. Jadikan pengalaman Lembah Subang 2 sebagai pengajaran.

Kerajaan negeri bersikap terbuka

Kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Ianya telah dilakukan bersama menteri sebelum ini dan Timbalan Menteri Datuk Halimah Sadique.

Kami mengalu-alukan satu hubungan yang harmoni dan profesional. Tetapi Menteri Perumahan mestilah bersikap seperti seorang negarawan dan bukan seperti seorang ketua cawangan.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor

Tiada ulasan: