Sabtu, 6 Ogos 2016

MUDAH SAJA LOGIKNYA, IA MIRIP UMNO KERANA MEMANG TUJUANNYA UNTUK MENGALAHKAN UMNO

shahbudindotcom



Kenapa masih mirip UMNO? Kalau begitu, apa bezanya dengan UMNO?

Mengapa tak dibuka kepada pelbagai kaum dan semua rakyat Malaysia boleh masuk jadi ahlinya?

Ini adalah antara pertanyaan yang banyak kedengaran di sebalik sahnya hasrat Tun Mahathir Mohamad menubuhkan sebuah parti politik baru bertunjangkan Melayu dan Bumiputera yang bakal dipimpin oleh Muhyiddin Yassin.

Ramai juga yang skeptikal untuk menyertai parti tersebut apabila melihatkan konsep perjuangannya yang tidak berbeza dengan UMNO.

Jangan-jangan bila dapat kuasa nanti pun jadi sebiji macam UMNO, kata sesetengah yang lain.

Sememangnya sukar untuk mengelakkan wujudnya tanggapan-tanggapan sedemikian rupa. Lebih-lebih lagi dalam zaman keterbukaan dan era media sosial sekarang ini, sesiapa saja yang ada akaun facebook misalnya, seperti sudah ada akhbar dan televisyen sendiri di mana mereka bebas untuk menulis dan merakam suara untuk melontarkan pelbagai pandangan yang diingini.

Jika diimbas, perjuangan asal Tun Mahathir ialah untuk menyingkirkan Najib sebagai Perdana Menteri. Apabila semua ruang untuk berbuat demikian melalui UMNO sudah ditutup oleh Najib, malah beliau menyingkirkan sesiapa saja yang mengkritiknya, Tun Mahathir juga akhirnya keluar UMNO kerana parti itu dianggapnya sudah menjadi parti Najib.

Dengan kepungan yang dilakukan Najib, baik dalam UMNO mahu pun kerajaan, ruang untuk menyingkirkannya hanyalah melalui pilihanraya. Bermakna, menyingkirkan Najib hanya dengan cara menyingkirkan UMNO daripada terus berkuasa. Selagi UMNO berkuasa, selagi itulah Najib akan kekal sebagai Perdana Menteri.

Untuk mengalahkan UMNO dalam pilihanraya, melawan secara individu tidak lagi praktikal. Untuk itu, sebuah parti yang mirip UMNO mesti ditubuhkan. Parti Melayu dan Bumiputera ini mesti ditampilkan dengan ciri-ciri yang lebih dinamik supaya  mampu memikat hati orang Melayu. 

Jika Tun Mahathir menubuhkan parti pelbagai kaum seperti PKR misalnya, orang Melayu yang menolak Najib tidak melihat ia sebagai alternatif kepada UMNO. Bahkan ramai yang enggan untuk menyertainya ia kerana ia berbilang kaum.

Parti baru itu adalah alternatif dan bakal pengganti UMNO. Dengan dimasukkan dalam perlembagaannya ikrar untuk melakukan reformasi dalam sistem politik dan pentadbiran negara, ketelusan, kebertanggungjawaban dan pencegahan rasuah serta menghadkan tempoh tertentu dalam pemegangan jawatan seperti yang ditulis oleh A Kadir Jasin dalam blognya, kebarangkaliannya untuk tampil lebih baik berbanding UMNO juga adalah tinggi. UMNO tiada ciri-ciri sebegitu.

Orang Melayu akan melihat parti baru ini bukan saja untuk beroleh kuasa dan menyingkirkan Najib, tetapi juga untuk membawa pemulihan serta kebaikan kepada masa depan negara.

Meskipun ia khusus untuk Melayu dan Bumiputera, tetapi oleh kerana ia akan bergabung dengan Pakatan Harapan yang didalamnya ada PKR, DAP dan Amanah yang sudah merangkumi kaum-kaum lain, gabungan tersebut secara automatik menjadi lebih lengkap.

Kehadiran parti baru itu juga tidak menyebabkan ia bertindih dengan PKR, DAP atau Amanah,  sebaliknya khusus untuk memecahkan sokongan Melayu terhadap UMNO yang sudah tergelincir jauh daripada landasannya. Ia khusus untuk menarik ahli UMNO, penyokong UMNO dan pengundi Melayu untuk beralih ke wadah baru yang lebih baik dan terjamin perjuangannya.

Jika ada kaum-kaum lain yang seiring perjuangannya dengan apa yang mahu dilakukan oleh Tun Mahathir, mereka boleh memilih untuk menyertai PKR atau DAP. Tidak semestinya hanya dengan menyertai parti baru itu saja dapat melakukan apa yang mahu dilakukan oleh Tun Mahathir. Pakatan Harapan dan Tun Mahathir kini sudah senada seirama dan selangkah sehayun dalam perjuangan.

Hanya jika penguasan UMNO terhadap Melayu berjaya dipecahkan melalui parti baru itu, terutama dengan kerja keras Tun Mahathir, barulah UMNO mampu dikurangkan pengaruhnya. Tetapi, tentu saja orang Melayu tidak perlu bimbang untuk menolak UMNO kerana penggantinya juga sebuah parti yang bertunjangkan perjuangan Melayu dan Bumiputera.

Ditambah dengan sokongan pengundi Melayu yang bersama dengan PKR dan Amanah, UMNO secara tidak langsung kian mengecil jadinya dalam kelompok Melayu sendiri.

Secara mudahnya, parti baru Tun Mahathir itu memang mirip UMNO kerana tujuannya juga tidak lain ialah untuk mengalahkan UMNO.

Dengan yang demikian, apabila UMNO dikalahkan, barulah Najib dapat disingkirkan dan masa depan negara mampu diselamatkan.


Tiada ulasan: