Khamis, 4 Ogos 2016

KPN guna undang-undang mana, henti laporan Khairul?

HARAKAHDAILY 





Ini soal keselamatan negara.  Ini soal maruah negara. Ini soal membocorkan maklumat. Ini soal hendak menjatuhkan Perdana Menteri. Ini soal maruah tiga nama yang ternama di peringkat antarabangsa. Kenapa laporan ini dihentikan begitu sahaja?

Semuanya menjadi perbualan dalam kalangan masyarakat. Timbul persoalan, apakah kerana Khairul Azwan Harun, Naib Ketua Pemuda Umno atau takut perkara yang terlindung terburai.

Cukuplah wahai Ketua Polis Negara, bukankah negara kita dilanda krisis keyakinan terhadap badan penguatkuasa dan perundangan. Kenapa kes ini berlalu begitu sahaja? Macam mana alasan yang diberi begitu naif, hanya laporan itu berdasarkan andaian.

Adakah ini tidak boleh dikategori sebagai laporan palsu? Bukankah ada peruntukan bagi mereka yang melakukan kesalahan membuat laporan palsu?

Adakah kalau rakyat biasa melakukan perbuatan tersebut tidak menjadi satu kesalahan? Sejarah tercatat di dalam negara kita, Chong Lim Shu dari Kulai Jaya, seorang pekerja stor yang membuat laporan palsu kononnya disamun telah didenda RM500 atau penjara tujuh hari.

Begitu juga yang berlaku kepada Cheong Chee Lun telah dijatuhkan hukuman RM2,000 dan penjara dua hari. Kesalahannya kerana membuat laporan palsu dengan menuduh Loh Kein Chok menggunakan kereta Wira miliknya tanpa kebenaran. Ini hanya secebis kes yang melibatkan orang biasa.

Ini bukan laporan curi telor ayam. Ini bukan laporan palsu curi kereta. Ini soal keselamatan dan kedaulatan, kononnya memberi maklumat kepada agensi Amerika Syarikat termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Soal siapa salah atau benar tentang laporan tersebut, biarlah dibawa ke pengadilan terlebih dahulu. Ini melibatkan tiga individu penting iaitu bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Sampai bila drama ini akan berakhir.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang

Tiada ulasan: