Sabtu, 6 Ogos 2016

KJ: Hantar wakil jumpa Ahmad Said

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin


DUNGUN - Pemuda Umno berharap akan ada penyelesaian kepada krisis politik membabitkan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas pemegang jawatan itu dalam masa terdekat.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata,  presiden parti sedang berusaha mencari jalan penyelesaian berkait kemelut itu dan diharapkan wakil bersesuaian dihantar untuk bertemu Datuk Seri Ahmad Said bagi membincangkan masalah berkenaan.

"Kami harap semua pihak akan bagi kerjasama kepada Menteri Besar untuk terus menerajui kerajaan Terengganu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Umno Terengganu perlu tenang hadapi kemelut]

"Kita mahu elak sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan sehingga terpaksa mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Puncanya ada kaitan dengan bekas MB dan saya harap ada usaha untuk jumpa Ahmad Said dari mana-mana wakil bersesuai untuk berbincang," ujarnya selepas merasmikan Mesyuarat Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Umno Daerah Dungun, di Dewan Dagang Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Din Adam, Ketua Wanita Umno Dungun, Zainun Abu Bakar, Ketua Puteri Umno Dungun, Arlina Rosli dan Ketua Pemuda Umno Dungun, Mohd Asri Mohamad.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, walaupun bersedia dengan sebarang kemungkinan, namun adalah lebih baik jika Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat dielakkan.

"Pemuda berpendapat lebih baik mengelak dari PRN diadakan dan kita percaya dengan keikhlasan semua pemimpin meneruskan perjuangan dapat mengelak keadaan itu," katanya.

Tambahnya, walaupun ada pihak mendesak supaya Menteri Besar meletak jawatan tetapi apa yang lebih penting pucuk pimpinan itu dipilih oleh presiden parti.

"Ahmad Razif dipilih oleh presiden parti dan diperkenan oleh Tuanku Sultan serta kita tidak boleh tukar sesuka hati kerana ini boleh mengganggu-gugat pentadbiran dan kestabilan kerajaan negeri.

"Jika MB ditukar, krisis ini tidak akan menyelelesaikan masalah kerana Ahmad Razif juga mempunyai penyokongnya sendiri.

"Kami Pemuda dan semua sayap Umno akan bagi sokongan padu kepada kerajaan Terengganu dan MB kerana Ahmad Razif yang diberi mandat sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu sekarang.

"Saya juga beranggapan lebih baik sekiranya masalah ini diselesaikan secara bersemuka oleh individu itu sendiri kerana kita nak pastikan sebarang keputusan dibuat oleh tuan badan sendiri dan bukannya pemimpin lain atau orang sekeliling yang mempunyai agenda berbeza,"katanya.

Tiada ulasan: