Rabu, 3 Ogos 2016

Jangan tunduk kepada Najib, Financial Times ingatkan Obama

MALAYSIAKINI


Akhbar kewangan Amerika, Financial Times mahu presiden negara itu, Barack Obama tidak tunduk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung kemelut 1MDB.

"Ketika tempoh perkhidmatannya di White House di penghujung, Obama harus menggalakkan semua agensi Amerika meneruskan siasatan penuh kes 1MDB mengikut undang-undang Amerika dan antarabangsa.

"Ini bukan sahaja terhad bagi kemungkinan mendakwa Najib dan rakan-rakannya, tetapi jugamembabitkan bank-bank dan syarikat-syarikat yang bersubahat dengan pengubahan haram lebih AS$3.5 bilion yang diselewengkan daripada 1MDB," katanya.

Financial Times juga menggesa Najib supaya berundur sehingga siasatan selesai dan namanya telah dibersihkan.

Najib, katanya, perlu melakukan ini "demi rakyat dan negara yang didakwanya beliau berkhidmat".

Menurut Financial Times, kes Malaysia itu hanya diberi tempoh masa yang singkat di Washington.

"Jika topik itu sampai ke meja Obama sekalipun ia biasanya dalam konteks sokongan kuat Najib terhadap perjanjian perdagangan perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) atau peranan Malaysia sebagai benteng Islam sederhana menentang ekstremisme di Asia Tenggara.

"Pada malam Krismas, 2014, kedua-dua pemimpin bermain golf di Hawaii, sesuatu yang Najib sering sebut-sebutkan sebagai bukti sokongan Amerika.

"Beliau juga bijak dilamar China dalam apa yang menurut penganalisis sebagai amaran kepada Washington bahawa beliah boleh membawa Malaysia ke dalam lingkungan pengaruh Beijing sokongan Amerika mulai goyah," katanya.

Menurut akhbar kewangan itu, TPPA tidak lagi akan menjadi keutamaan Amerika kerana ditentang oleh kedua-dua calon presiden utama.

"Malaysia bersekutu dengan China adalah sangat tidak mungkin, memandangkan rekod buruk setengah-setengah pemimpin Umno dengan kumpulan minoriti Cina di negara itu sendiri," katanya.

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika, baru-baru ini telah memfailkan saman sivil bagi menyita dan merampas aset yang didakwa diselewengkan daripada dana 1MDB.

Jabatan itu menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz dan ahli perniagaan Jho Low yang dikatakan rapat dengan keluarga perdana menteri.

Antara lain, DOJ mendakwa dana 1MDB digunakan untuk membeli hartanah mewah, karya seni mahal, menyelesaikan hutang judi dan juga untuk membeli kapal terbang dan kapal layar.

Dalam samannya itu, DOJ mendakwa sejumlah AS$731 juta wang berasal dari 1MDB dikesan berada di akaun "Malaysian Official 1".

Walaupun pihak berkuasa di Malaysia membisu dalam isu ini, pembangkang mendakwa bahawa ia merujuk kepada Najib.

Perdana Menteri telah menafikan dirinya menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan menyalahkan dakwaan itu kepada kumpulan yang berkomplot untuk menjatuhkannya.

Tiada ulasan: