Jumaat, 5 Ogos 2016

Indonesia tangkap 6 individu cuba lancar roket ke Marina Bay

 
Semua suspek ditahan di Batam, lokasi di mana serangan roket berkenaan dirancang untuk dilancarkan ke arah Singapura.


Boy-Rafli-Amar1


SINGAPURA: Pihak berkuasa Indonesia menahan enam suspek pengganas bagi membantu siasatan dakwaan satu rancangan serangan menggunakan roket yang dilancarkan dari Batam ke Marina Bay di sini, berjarak kurang 30km, lapor media tempatan.

Suspek berumur antara 19 hingga 46 tahun itu ditahan pagi tadi oleh Unit Khas 88, skuad elit counter-terroris Indonesia.

Kumpulan itu dikatakan ada kaitan dengan Bahrun Naim, individu yang dipercayai menjadi dalang dalam serangan di Jakarta awal tahun ini.

Menurut laporan Batam Pos, suspek itu ditahan di beberapa lokasi sekitar Batam, termasuk di kawasan perumahan Mediterranean di pusat bandar, Kompleks Masyeba, Kluster Sakura Botania, Kompleks Taman Carina dan Kompleks Taman Indah Batuaji.

“Benar, kami menahan enam orang,” kata pegawai polis kanan, Boy Rafli Amar dipetik daripada Batam Pos.

Akhbar itu melaporkan enam suspek itu dikenali sebagai Gigih Rahmat Dewa, 31; Trio Syafrido, 46; Eka Saputra, 35; Tarmidzi, Hadi Gusti Yanda, 20; dan M Tegar Sucianto, 19. Semua suspek bekerja di sebuah kilang kain kecuali Trio yang dilaporkan sebagai eksekutif bank.

Sebuah stesen TV Indonesia mengenal pasti Gigih sebagai ketua kumpulan itu.

Salah seorang jiran Gigih berkata suspek berkahwin empat tahun lalu dan tidak menunjukkan sikap mencurigakan.

“Dia jarang keluar, dan sebenarnya kami tidak tahu apa-apa mengenai mereka. Setakat ini pasangan itu baik,” kata seorang jiran sebagai berkata kepada Batam Pos.

Bahrun Naim, seorang militan Indonesia, sangat terkenal dalam kalangan agensi keselamatan.

Menteri Dalam Negeri Singapura K Shanmugam berkata pada Mac, Bahrun Naim disyaki menggalakkan serangan di Singapura.

Dia dikatakan menjadi antara perancang serangan bom dan tembakan di plaza beli-belah Jakarta pada 14 Januari yang membunuh lapan orang, termasuk empat penyerang dan mencederakan lebih 20 yang lain.

Ketua Polis Indonesia Badrodin Haiti turut menamakannya sebagai salah seorang pemimpin utama di wilayah itu dalam jaringan dengan pro IS.

Tiada ulasan: