Rabu, 3 Ogos 2016

Ghazali Nafi Keluar Umno, Teguran Untuk Kebaikan Umno Terengganu

MSTAR ONLINE
 
 
Ghazali Taib
 
 
KUALA TERENGGANU: Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan  Ajil Ghazali Taib pada Rabu menafikan desas-desus yang tersebar kononnya beliau akan keluar Umno.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri itu sebaliknya menegaskan beliau akan setia menjunjung amanat parti itu dan mempertahankan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tak ada, saya orang Umno... takkan saya nak keluar parti. Umno akan saya junjung, presiden akan saya pertahankan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini Rabu.

Ditanya mengenai kenyataannya dalam laporan akhbar hari ini yang menegur pentadbiran negeri pimpinan Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman, Ghazali berkata ia bertujuan memastikan rakyat merasa keberkesanan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

"Sebagai wakil rakyat yang mendengar suara rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk menyampaikan hasrat rakyat supaya negeri Terengganu, kerajaan negeri Terengganu disegani dan dihormati.

"Teguran dan nasihat kerana ini kerajaan rakyat, jadi rakyat memerlukan yang sempurna bagi perkhidmatan yang terbaik. Kalau saya tak sampaikan bermakna saya telahpun tidak melakukan amanah rakyat," katanya.

Ditanya sama ada kenyataannya itu bermaksud beliau tidak percaya kepada kepimpinan sedia ada, Ghazali berkata: "Tidak! Sekarang ini setiap manusia ada kesilapan ada kelemahan bukan kita sempurna, ada masa kita melihat sesuatu itu secara positif, jika ada yang tak betul maka kita perbetulkan, yang tak elok kita elokkan, yang penting rakyat merasa nikmat perkhidmatan yang terbaik yang kita bagi".

Diminta mengulas sama ada tindakannya itu seolah-olah memihak kepada bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, beliau berkata isu itu tidak timbul kerana teguran dilakukan untuk kebaikan Umno.

"Tidak timbul berpihak ... kita Umno... kita Barisan Nasional. Yang penting kita nak Barisan Nasional kukuh dan Umno kukuh berpadu dan BN beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat Terengganu dan kita tak mahu ada rakyat yang rasa kesal mengundi kita kerana kita tak bagi perkhidmatan," katanya.

Tiada ulasan: