Sabtu, 6 Ogos 2016

Anak Sanusi Junid keluar Umno

 
Oleh MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI


ALOR SETAR – Anak kepada bekas Menteri Besar Kedah Ketujuh, Tan Sri Sanusi Junid mengumumkan peletakan semua jawatan dalam Umno dan bertindak meninggalkan parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Akhramsyah Sanusi yang juga merupakan Ketua Umno Cawangan Bendang Baru, Langkawi ketika dihubungi mengesahkan perkara itu. 
 
“Saya boleh sahkan yang saya sudah pun meletakkan jawatan. Saya tahu pesanan tentang perletakan jawatan saya kepada Setiausaha Umno Bahagian Langkawi diterima kerana difahamkan ia sudah viral dalam kalangan warga Pemuda Umno Langkawi.

“Saya keluar Umno dari segi bilanya kerana saya merasakan agak hipokrit  untuk saya kekal dalam Umno apabila saya komited dalam usaha mendirikan parti baharu bawah bimbingan (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad, yakni antara satu-satunya pejuang Umno pada masa ia diasaskan sebelum merdeka yang masih aktif bersama kita,” katanya.

Difahamkan, Akhramsyah juga antara jawatankuasa penaja dalam parti yang sedang dibentuk Tun Mahathir bersama bekas pemimpin Umno yang lain.

“Lagipun, kepimpinan Pemuda di peringkat kebangsaan tidak memberi semangat untuk kita kekal dalam Umno sebab jelas lari dari perjuangan.

“Kini Pemuda sekadar menjadi tukang sorak seorang Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak)  yang kecacatan kewibawaannya sudah menjadi sindiran pedih kepada rakyat Malaysia di seluruh dunia, bukan pendesak perjuangan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.


Tiada ulasan: