Khamis, 13 Ogos 2015

'Yang penting apa Anina cuba sampaikan'

MALAYSIAKINI


 


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengaku kesal dengan kritikan keras seorang anggota Wanita Umno Langkawi kepada perdana menteri tetapi akan meneliti mesej dalam ucapan itu.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, parti itu terbuka dan membenarkan setiap perwakilan mesyuarat meluahkan isi hati kerana ia suara akar umbi.

“Kita buat sebarang keputusan itu mestilah dari maklumat yang kita dapat dari akar umbi. Jadi kadang-kadang cara perasaan itu diluahkan dengan kata-kata yang agak kesat.

“Yang itu yang saya sedikit kesal. Bukan sedikit kesallah, memang saya kesal.

“Saya cuba nak memahami intipati mesej yang disampaikan dan walaupun kita boleh menegur beliau di atas cara yang disampaikan mesej itu, tetapi saya ingat pentingnya ialah apa yang dia cuba sampaikan,” katanya.

Dalam mesyuarat Wanita Umno Langkawi Sabtu lalu, keadaan menjadi gamat apabila Anina berkata tiga juga anggota Umno kini menjadi mangsa “kencing” Datuk Seri Najib Razak.

Rakaman video memaparkan ucapan berani dan berapi-rapi Anina itu turut tersebar luas di alam maya.

Bercakap kepada pemberita di Hotel Pullman, Kuala Lumpur, Mukhriz berkata sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan diambil terhadap Anina.

Ini memandangkan tiada sebarang aduan daripada Umno Langkawi dibuat setakat ini, kata pemimpin Umno Kedah itu.

“Saya rasa biarlah kes ini dijadikan satu tanda aras supaya kita tidak melewati had…

“Kita nak supaya apa sekalipun yang hendak disampaikan biarlah dengan cara yang berhemah (sebab) kadang-kadang kita tak dapat kawal emosi,” kata anak kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Tiada ulasan: