Ahad, 16 Ogos 2015

Umno Pontian dedah Najib buat keputusan rombak Kabinet menerusi WhatsApp



Ketua Umno Bahagian Pontian Datuk Ir Hasni Mohammad berkata sehari sebelum rombakan Kabinet dilaksanakan, pengendali akaun WhatsApp ketua-ketua Umno bahagian meminta pandangan daripada ketua bahagian sama ada wajar atau tidak langkah itu diambil. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 16 Ogos, 2015.Ketua Umno Bahagian Pontian Datuk Ir Hasni Mohammad berkata sehari sebelum rombakan Kabinet dilaksanakan, pengendali akaun WhatsApp ketua-ketua Umno bahagian meminta pandangan daripada ketua bahagian sama ada wajar atau tidak langkah itu diambil. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari.
 
 
Ketua Umno Bahagian Pontian Datuk Ir Hasni Mohammad mendedahkan keputusan rombakan Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dibuat hanya menerusi perbincangan dalam WhatsApp tanpa dibincangkan mengikut saluran tertinggi parti Melayu itu.

Hasni berkata sehari sebelum rombakan Kabinet dilaksanakan, pengendali akaun WhatsApp ketua-ketua Umno bahagian meminta pandangan daripada ketua bahagian sama ada wajar atau tidak langkah itu diambil.

 "Satu hari sebelum rombakan Kabinet, ketua-ketua bahagian diminta beri pandangan perlu atau tidak, kalau 150 bersetuju, pentadbir atau admin WhatsApp ketua-ketua bahagian ini berkata presiden akan laksanakan," kata Hasni semasa majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pontian di Johor petang ini.

Langkah itu dipertikaikan Hasni kerana menurutnya sebarang keputusan yang penting seharusnya dirujuk terlebih dahulu di peringkat tertinggi parti menerusi Majlis Tertinggi (MT) atau Badan Perhubungan Umno Negeri.

"Kenapa kaedah Majlis Tertinggi dan Badan Perhubungan tidak lagi digunapakai," katanya.

Menurut Hasni, lebih mengeruhkan keadaan apabila terdapat ketua bahagian dalam kumpulan WhatsApp itu yang besar kepala hanya kerana mempunyai hubungan rapat dengan Najib.

"Ada setengah ketua bahagian yang baru sekali dua berjumpa dengan presiden, malah dalam WhatsApp itu ada ketua bahagian yang sudah rasa besar dan boleh menghukum ketua bahagian lain

 "Malah mereka ini boleh hukum saya kalau kenyataan yang saya cakap ini menyinggung presiden," katanya.

Najib pada Julai lalu merombak Kabinet dengan menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri dan beberapa menteri yang lain, dipercayai kerana kritikan dalam isu membabitkan syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 Namun, Najib tidak menyingkirkan Muhyiddin sebagai timbalan presiden Umno. Sementara itu, Hasni menyifatkan keputusan menyingkirkan Muhyiddin daripada Kabinet sebagai tidak wajar dan tidak boleh diterima sama sekali kerana status beliau yang masih menjawat jawatan tertinggi parti.

 "Kami Umno Johor menyokong rombakan Kabinet tapi kami tidak menyokong penyingkiran Tan Sri daripada Kabinet," katanya.

Hasni juga membidas Najib dengan mengatakan rakyat Johor sekarang terluka dengan keputusan penyingkiran Muhyiddin daripada kerajaan.

 "Kami sangat terluka," katanya dalam majlis yang turut dihadiri Muhyiddin hari ini.


Tiada ulasan: