KUALA LUMPUR: Umno harus menilai dan menyesuaikan diri dengan perubahan
dalam sosiopolitik semasa kerana jika tidak akan kehilangan relevan di
mata pengundi, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata parti perlu merumuskan strategi dan dasar yang betul
untuk beroperasi dalam senario sedemikian dengan mengambil kira
kepentingan generasi muda hari ini, termasuk orang Melayu, yang lebih
melihat bagaimana Malaysia dapat berkembang.
"Semasa zaman awal (apabila Umno ditubuhkan), keadaan demografi adalah
berlainan, perjuangan (Umno) lebih berkisar kepada peluang anak-anak
muda untuk memasuki universiti, menjalankan perniagaan... perjuangan
bagi memperkasakan masyarakat adalah penting.
"Tetapi sekarang, keadaan berbeza untuk golongan muda dan
berpendidikan,yang telahpun diperkasakan dari segi ekonomi dan ini
menjadi cabaran unik kepada kita (untuk kekal relevan)," kata Khairy
semasa menjawab soalan daripada hadirin semasa Sidang Kemuncak Pemimpin
Pelajar Malaysia ke-9, di sini pada Ahad.
Sidang Kemuncak dua hari itu dianjurkan oleh Majlis Pelajar United
Kingdom and Eire (UKEC) apabila sebilangan orang terkemuka akan
berbincang dan berkongsi dengan penonton hasil dapatan mereka tentang
isu-isu semasa.
Sementara itu, Khairy berkata perubahan pesat dalam demografi dan
sosiopolitik Malaysia adalah salah satu sebab penting mengapa Umno dan
Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras untuk menangani krisis
kepercayaan dan keyakinan yang dihadapi oleh parti itu.
Beliau berkata, walaupun Umno dan BN amat 'beruntung' kerana Pakatan
Rakyat berada di tengah-tengah ketidakstabilan, parti itu tidak harus
bergantung kepada senario itu tetapi harus mencari formula yang tepat
supaya orang ramai menaruh kepercayaan kepada parti.
"Saranan untuk Umno sekarang ialah untuk mendekati rakyat Malaysia dan
memberitahu mereka bahawa kita mentadbirkan negara ini dengan baik dan
mereka boleh mempercayai kita.
"Ada banyak perkara bagi kita lakukan untuk mengembalikan kepercayaan,
untuk menangani krisis keyakinan, untuk membetulkan persepsi (negatif).
Ia tidak lagi tentang sistem naungan apabila saya memberi kamu sesuatu
dan kamu mesti menyokong saya (sebagai balasan)," katanya.
Khairy, yang juga Pengerusi Pemuda BN, menambah jika tiada apa-apa
dilakukan (bagi mengatasi krisis keyakinan dan tanggapan negatif),
pengundi akan beralih kepada pakatan pembangkang.
Kepada soalan tentang mengapa pelajar dinafikan hak mereka untuk
menyuarakantentang isu-isu semasa, Khairy menjawab bahawa kerajaan telah
mengambil langkah-langkah yang mencukupi untuk memastikan suara ini
didengar dengan betul, termasuk meminda Akta Universiti dan Kolej
Universiti (AUKU).
Bagaimanapun, Khairy berkata ini tidak menimbulkan masalah kepada
pelajaruntuk menyatakan pendapat mereka selagi ia dilakukan dengan betul
dan tidak melanggar undang-undang.
"Jika anda ingin menyumbang, jangan membuat tanggapan umum bahawa setiap anak muda Malaysia akan dihukum atau didakwa.
"Kerana jika anda mahu menjadi sebahagian daripadanya, anda harus
dibenarkan untuk berbuat demikian, tetapi jika anda melanggar
undang-undang (ketika itu) tidak banyak yang boleh dilakukan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan