KUALA SELANGOR - Umno dilihat lemah hari ini bukan kerana permainan
pembangkang tetapi kerana adanya anggota yang mementingkan jawatan dan
kedudukan serta pelbagai lagi yang lebih kepada kepentingan diri
sendiri.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata,
hanya kerana segelintir anggotanya yang tidak ikhlas dalam
memperjuangkan matlamat parti itu, Umno kini berhadapan dengan krisis.
"Malah ada di kalangan anggota yang sanggup menjahanamkan parti Umno
itu sendiri yang bersikap seperti anai-anai serta gunting dalam lipatan,
yang tidak sudah-sudah mengadu domba," katanya semasa merasmikan
mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, Datuk
Seri Noh Omar, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim dan
Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor, Datuk Ishak Harun.
Tambah Tengku Adnan, anggota Umno sepatutnya seorang yang bersatu dan
setia kepada presiden serta berani melawan setiap tohmahan dan fitnah
yang dilemparkan ke atas presiden.
"Anggota Umno juga perlu bersatu dalam apa jua keadaan serta bersedia
berkhidmat bukan hanya untuk kelompok kita sahaja, tetapi kepada seluruh
rakyat Malaysia," kata Menteri Wilayah Persekutuan itu.
Dalam ucapannya, Tengku Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan
Umno Wilayah Persekutuan turut menekankan betapa pentingnya untuk Umno
Selangor dan Wilayah Persekutuan berganding bahu, kerana kedua-dua pihak
saling memerlukan antara satu sama lain.
"Kalau Umno Selangor kuat, Umno Wilayah pun akan kuat dan begitulah
sebaliknya. Saya yakin kita mampu lakukan yang lebih baik. Jangan kita
putus asa kerana Umno tidak pernah berputus asa dalam berjuang,"
katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan