Ahad, 16 Ogos 2015

Tunjuk bukti 3,000 ahli sertai GHB - PAS Selangor

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: PAS Selangor hari ini menuntut penjelasan daripada Gerakan Harapan Baru (GHB) Selangor berhubung dakwaan terdapat lebih 3,000 penyertaan daripada ahli parti Islam itu yang menyertai pertubuhan berkenaan.
 
Bercakap kepada Antarapos, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman memberitahu dakwaan itu dianggap tidak berasas memandangkan hanya ratusan sahaja bilangan ahli parti direkodkan menyertai pertubuhan berkenaan.
 
"Saya tidak pasti dari mana Izham ambil bilangan 3,000 yang diisytiharkan itu. 
 
"Sesiapa pun yang mahu menyertai GHB terserah kepada diri masing-masing. Yang pastinya pentadbiran PAS tidak terjejas. Bilangan 3,000 yang diisytiharkan Izham itu baru 0.5 peratus ahli PAS di Selangor. Dan Selangor masih lagi menerima penyertaan baru ke dalam PAS," katanya.
 
Khairuddin mengulas kenyataan Penyelaras GHB Selangor, Izham Hashim bahawa keahlian GHB di Selangor pada hari ini hampir mencecah 3,000 orang dan 90% daripadanya terdiri daripada ahli PAS. 
 
Menyatakan gerakan itu mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk dari bukan Islam, Izham juga menambah banyak desakan daripada pemimpin parti Islam itu untuk meletak jawatan atau menyertai GHB.
 
Menurutnya lagi keahlian GHB di Slenagor semakin bertambah dengan lebih 20 kawasan sudah dibentuk.
 
GHB baru-baru ini mengumumkan 21 ahli jawatankuasanya termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharudin yang dilantik sebagai timbalan penyelaras jawatankuasa itu. 
 
Manakala pada minggu ini seramai 13 ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda PAS Shah Alam, termasuk Ketua Pemudanya, Helmi Radzuan semalam mengumumkan peletakan jawatan mereka di peringkat kawasan selepas parti Islam itu kini dilihat lebih eksklusif selepas pemilihan Jun lalu.
 
Antara sebab lain tindakan itu diambil adalah kerana kerjasama di peringkat kawasan dengan kalangan Pemuda negeri semakin longgar.
 
Khairuddin dalam pada itu yakin PAS Selangor langsung tidak terjejas dengan perkembangan berkenaan.
 
 

Tiada ulasan: