Khamis, 27 Ogos 2015

Tujuh murid Orang Asli hilang di hutan

Tujuh murid Orang Asli hilang di hutan
Kawasan hutan yang dipercayai tempat tujuh pelajar itu hilang. – Foto Sinar Harian
 
 
GUA MUSANG -  Tujuh murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi dilaporkan hilang di hutan sejak Ahad lepas selepas bimbang dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai tanpa kebenaran.
 
Sinar Harian difahamkan, murid berkenaan dikatakan lari memasuki kawasan hutan tidak jauh dari sekolah itu selepas aktiviti mandi di sungai dikesan guru dan gagal pulang semula sampai sekarang.
 
Pelajar terbabit ialah Mirsudiar Aluj, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8 dan Juvina David, 7 kesemuanya berasal dari Pos Tohoi.
 
Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Dendi Johari berkata, keluarga pelajar yang hilang itu dimaklumkan guru sekolah pagi semalam berhubung anak mereka tidak hadir sekolah.

"Secara kebetulan berjumpa dengan guru sekolah dan mereka terus melarikan diri memasuki kawasan hutan kerana takut dikenakan tindakan, tetapi dipercayai tersesat hingga gagal pulang semula.
 
"Mereka dipercayai sesat dalam kawasan itu dan setakat petang ini sudah empat hari berada dalam hutan berkenaan hingga kita yang melancarkan gerakan mencari masih gagal ditemui," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.25 pagi semalam.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan itu, pihaknya melancarkan gerakan mencari tujuh pelajar itu bersama penduduk kampung dan anggota Rela.
 

Tiada ulasan: