KUALA TERENGGANU, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan beberapa kumpulan kecil ahli parti di seluruh negara yang mengumumkan keluar daripada PAS adalah satu proses pembersihan parti.


Tegasnya, beliau tidak risau dengan perkembangan itu, kerana ia adalah sesuatu yang baik untuk parti, malah PAS menerima lebih banyak permohonan untuk menyertai parti berkenaan.

“Itu (tindakan keluar parti) adalah pembersihan parti yang berlaku dengan sendiri, bila berlaku banjir…bah, pasir pun berubah.

“Kita tak risau, tak risau…gembira, gembira…keahlian kita kini meningkat, dalam masa sebulan lalu, kita telah menerima 4,000 ahli baru didaftarkan dan masih ada 2,000 hingga 3,000 yang memohon keahlian, tapi belum diproses,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri Badan Perhubungan PAS Terengganu, hari ini.

Sebelum ini, beberapa kumpulan ahli PAS peringkat negeri dan cawangan mengambil keputusan meninggalkan parti itu, termasuk Ketua Pemuda PAS kawasan Shah Alam, Helmi Radzuan dan 12 ahli jawatankuasanya yang meletak jawatan, kerana mendakwa parti itu semakin ‘eksklusif’.

Turut melakukan perkara sama ialah 12 ahli PAS cawangan Jelebu, Negeri Sembilan yang mengisytiharkan keluar parti, kerana kecewa dengan keputusan pemilihan parti pada Muktamar ke-61 di Kuala Selangor, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, PAS tidak akan membuat penyertaan langsung dalam Himpunan Bersih 4.0 yang dijadualkan berlangsung 29 Ogos ini, sebaliknya mereka akan hanya menghantar dua wakil, iaitu Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Timbalan Pesuruhjaya 1 Wilayah, Kamaruzaman Mohamad.

Ini kerana, PAS akan menganjurkan majlis sendiri pada masa akan datang.

Bagaimanapun, PAS tidak menghalang mana-mana ahli parti menyertai himpunan tersebut dan tiada galakan untuk menyertainya, memandangkan PAS bukanlah penganjur bersama seperti pada himpunan Bersih yang diadakan sebelum ini.