SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin
mengesahkan masih belum menerima sebarang makluman rasmi tentang dakwaan
Mesyuarat Tertinggi (MT) Umno yang mungkin ditangguhkan sekali lagi.
"Belum ada apa-apa lagi notis rasmi," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Bung diminta mengulas khabar angin yang mengatakan Mesyuarat MT Umno
yang sepatutnya diadakan 28 Ogos depan bakal ditangguhkan lagi akibat
kemelut dalaman parti yang masih berterusan.
Ia dipercayai berlaku susulan rombakan kabinet pada bulan lepas.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga
dikatakan sehingga kini masih belum mengeluarkan notis sama ada
mesyuarat berkenaan akan diteruskan pada hari yang sama atau sebaliknya.
Kononnya Tengku Adnan 'sukar' membuat keputusan berhubung mesyuarat
tersebut kerana wujud tekanan dan rasa tidak puas hati di kalangan
pemimpin dan ahli-ahli parti terhadap rombakan kabinet yang telah
dilakukan.
Bung kemudiannya diminta mengulas dakwaan berkenaan.
"Saya tidak nafikan ada sedikit kebimbangan di peringkat akar umbi.
Namun saya tidak nampak ia boleh merosakkan Umno. Penangguhan ini
mungkin kerana keadaan yang tidak mengizinkan.
"Masing-masing ada pendirian yang berbeza. Jika kita tenangkan keadaan dahulu, baru dapat keputusan yang baik," ulasnya.
Pada 29 Julai lalu, mesyuarat MT Umno juga dibatalkan pada saat akhir
di mana difahamkan ia sepatutnya diadakan bagi membuat keputusan
berhubung status Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal.
Bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah tersebut disingkirkan daripada Kabinet Datuk Seri Najib
Razak dikatakan akibat perbezaan pendapat dalam isu syarikat sarat
hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan