Ahad, 9 Ogos 2015

“Tiada esok bagimu” wahai Umno ...



Oleh Zul Bakar 


Masihkah kita ingat antara filem arahan Tan Sri Jins Shamsudin yang menggunakan perkataan ‘esok’ untuk judulnya seperti Esok masih ada, Esok untuk siapa, Tiada esok bagimu dan Menanti hari esok.

Perkataan ‘esok’ itu bukanlah bermaksud akan berlaku keesokan harinya. Begitulah juga apabila orang bertanya kepada seorang kanak-kanak; “Esok besar nak jadi apa?” juga bukan bermakna, esok budak itu akan terus besar, sebaliknya apa kerjaya yang dia ingin ceburi apabila dewasa.

Dalam kesemua filem Jins Shamsudin itu, beliau ingin menyampaikan mesej bahawa masa depan individu, keluarga atau masyarakat bergantung terhadap apa yang mereka lakukan hari ini. Sebab itulah apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan “Kalau diadakan pilihan raya esok, BN (Barisan Nasional) akan kalah” dan dijawab oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, “Saya nak katakan esok bukan pilihan raya” – kanak-kanak sekolah pun tersenyum.

Ada juga yang tergamam dan terkedu bagaimana seorang yang ber­tanggungjawab membuat pe­­­­­­rancangan parti dari segi pe­nerangan kepada rakyat boleh mengulas sedemikian. Mungkin Ahmad Maslan mempunyai alasan tersendiri tetapi beliau pasti faham ‘esok’ yang dimaksudkan sekadar perumpamaan bagi menggambarkan keadaan UMNO dan BN jika pilihan raya umum diadakan.

Sememangnya tiada siapapun boleh menafikan kedudukan so­kongan rakyat kepada BN khususnya UMNO ketika ini sedang merosot berikutan pelbagai isu. Sama ada ia persepsi, tohmahan atau fitnah, itu persoalan kedua. Yang pasti ia semakin menghakis sedikit demi sedikit sokongan kepada parti berkenaan.
Oleh itu ungkapan ‘jika esok pilihan raya’ sepatutnya dipandang serius oleh seluruh kepemimpinan UMNO bukannya dengan memberi jawapan balas bertaraf ‘maharaja lawak mega’.

Penulis tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi sekadar mengetengahkan keluh resah ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi yang mahu kepemimpinan UMNO melakukan sesuatu bagi memberi penjelasan kepada rakyat terhadap segala isu yang tercetus.

Sekarang ini mungkin kerana berpegang kepada tafsiran ‘esok bukan pilihan raya’, maka jentera pe­nerangan UMNO dianggap ba­gaikan ‘hidup segan mati tak mahu’ sehingga membuka la­luan UMNO dan BN ‘diserang’ dari pelbagai penjuru. Setakat ini jelas, UMNO tidak mampu ‘menyerang balas’ sebaliknya hanya ‘bertahan’.

Tidak apalah kalau mana-ma­na pemimpin UMNO mahu menganggap ‘Esok masih ada’ dan ‘Menanti hari esok’ untuk parti itu membuat persiapan menghadapi pilihan raya kerana sememangnya esok bukan pilihan raya, tetapi mampukah mereka memberi jaminan sentimen rakyat kepada parti itu esok, tidak dibawa sehingga pilihan raya umum akan datang?

Oleh itu, janganlah membuat kenyataan yang hanya akan me­nyebabkan rakyat berasa muak. Terimalah realiti dan aturlah strategi bagi meraih undi. Ini kerana UMNO dan BN bukanlah berada dalam kedudukan se­le­sa malah berhadapan de­ngan cabaran jauh lebih getir ber­banding pilihan raya umum lalu.

Tambahan pula sudah ada ura-ura kumpulan majoriti se­nyap atau atas pagar semakin me­nunjukkan rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan BN. Perlu diingatkan dalam pilihan raya umum lalu, BN masih bertahan kerana mereka mendapat so­kongan orang Melayu. Kaum-kaum lain sudah tidak lagi bersama parti tersebut.

Sebab itulah kepemimpinan UMNO dan BN perlu merombak jentera pilihan raya khususnya dari sudut penerangan jika mereka tidak berkesan atau tidak berkemampuan menghadapi serangan pakatan pembangkang serta menghapuskan persepsi dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu.

Usah ‘menanti hari esok’ untuk mengatur langkah kerana kita tidak tahu ‘esok milik siapa’. Gerakan menghadapi pilihan raya perlu dilakukan sekarang. Jentera UMNO dan BN tidak harus terus dibuai dengan kenyataan sesetengah pihak yang kadang kala dilihat tidak berpijak di bumi nyata dan masih berada dalam sindrom penafian.

Dalam pilihan raya hak mutlak membuat keputusan adalah rakyat. Mereka sedang memerhati dengan teliti apa yang berlaku sekarang. Pelbagai sumber berita yang boleh diperoleh memberi cabaran kepada UMNO dan BN memandangkan parti itu di­katakan cukup lemah dalam soal tersebut.

Kalau adapun, penjelasan dan penerangan yang diberikan hanya sekadar ‘syok sendiri’ atau ‘untuk cari makan’ sahaja, biarpun ada antara mereka diiktiraf sebagai ‘pemikir’. Dengarlah suara akar umbi dalam kalangan ahli UMNO dan BN sendiri kerana mereka paling rapat dengan rakyat. Suara mereka adalah suara rakyat.

Janganlah sampai ketika pilihan raya nanti apabila ada pemimpin UMNO berkata; “Kalau esok kita kekal memerintah kita akan melakukan itu dan ini”, rakyat akan menjawab; “Tiada esok bagimu”.

Ketika itu segala-galanya su­dah terlambat! - Utusan Malaysia

Tiada ulasan: