Sabtu, 15 Ogos 2015

Think Tank bukan zombie alam siber




Oleh ezaruddin abd. rahman 


ANAK muda jangan jadi kalut apabila kepimpinan negara diserang bertalu-ta­lu dengan pelbagai mak­lumat yang tidak sa­hih yang kini menjadi viral dalam media so­sial. Ketika ini emosi sudah men­jadi raja dalam hati segelintir rakyat dengan penyebaran pelbagai maklumat yang boleh menjatuhkan kredibiliti dan imej negara.

Media sosial kini dilihat menjadi gudang melahirkan ramai tukang fitnah dan penyebar fitnah yang kebanyakannya kita secara tidak langsung terjebak sama apabila turut berkongsi pelbagai berita yang tidak logik dan mengikut persepsi penulis.

Dalam keadaan negara kita berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pencarian serpihan pesawat MH370, isu berkaitan 1MDB, masalah ekonomi, kejatuhan Ringgit Malaysia (RM) dan pelbagai lagi, kerajaan sangat memerlukan idea dan pandangan daripada anak muda untuk membantu memulihkan keyakinan pelabur serta memperkasakan keharmonian negara.
Anak muda sepatutnya menjadi think tank kerajaan. Bukannya menjadi tukang fitnah yang boleh mengganggu keharmonian negara, sekali gus menggugat ekonominya.

Idea daripada anak muda sudah pastinya segar dan kerajaan tentunya amat mengalu-alukan sekiranya idea-idea tersebut datangnya daripada anak muda tempatan bukannya daripada konsultan luar.

Untuk menjadi pemfitnah ketika ini sangat mudah hanya melalui sentuhan jari sudah mencukupi. Kita tidak perlu lagi bersembang panjang di restoran mamak ataupun kedai kopi cukuplah sekadar jari kita memainkan peranan menyebarkan berita atau fitnah di alam siber. Masyarakat dunia siber tidak menggunakan lidah untuk berkata-kata tetapi melalui telefon pintar, iPad, komputer dan laptop cukuplah untuk menghuru-harakan negara dalam menyebarkan berita yang panas tanpa kesahihan.

Anak muda harus sedar, serangan yang bertali arus melalui media sosial daripada anak muda sendiri akan memberi kesan kepada negara.

Kita mungkin boleh bergelak ketawa apabila melihat lawak viral yang disebarkan tanpa memikirkan akan kesan kepada ekonomi dan kestabilan negara. Ini akan mengundang persepsi negatif dunia luar dan akibatnya ekonomi negara kita tidak stabil dan boleh runtuh.

Kita harus akui, masa sudah tidak menyebelahi kita lagi pada waktu ini. Inilah waktunya anak muda bertindak dan bersatu membantu kerajaan yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran. Ketika ramai orang sibuk menjadi pahlawan siber tetapi tidak ramai yang berani tampil untuk memberikan idea dan membantu kerajaan memperbetulkan semula persepsi negatif ini.

Justeru, anak muda harus merebut peluang ini menjadi think tank kerana ini adalah peluang yang terbaik untuk menguji kebijaksanaan golongan ini.

Malaysia mempunyai graduan pelbagai bidang yang hebat dalam jurusan ekonomi, sains politik, kejuruteraan, sains komputer dan pelbagai lagi.

Dalam keadaan ekonomi negara tidak baik ketika ini, mungkin graduan yang berkelulusan bidang ekonomi mempunyai idea dan boleh menulis memberikan idea kepada kerajaan untuk menangani masalah-masalah yang berbangkit.

Rakyat Malaysia kini semakin bijak tidak seperti dahulu, masing-masing mempunyai idea yang bertaraf profesor. Kredibiliti dan kompetensi anak muda akan kelihatan hebat jika menggunakan idea berdasarkan kemahiran dan jurusan mereka yang boleh memberi manfaat kepada kerajaan dan masyarakat. Ini harus menjadi satu amalan kepada anak muda untuk menjadi golongan yang amat dihargai dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Satu cadangan yang gila-gila tetapi bernas dan kreatif tentunya akan memberi satu impak yang baik kepada masyarakat kita.

Kata pepatah cina, “Masa yang terbaik untuk menanam pokok adalah 20 tahun yang lalu dan masa kedua terbaik adalah sekarang”.

Jika sekarang kita berlumba-lumba untuk memusnahkannya, apa akan terjadi kepada kita semua pada masa akan datang? Pemimpin dan ahli politik mungkin ada membuat kesilapan dan mereka bukannya malaikat yang sangat sempurna tetapi sebagai generasi muda, kita harus banyak membantu memberikan pandangan dan idea serta mempertahankan negara bukannya menjadi seperti machine gun menembak sesuka hati.

Sebagai anak muda Melayu juga, serangan berterusan kepimpinan Melayu perlu dilihat mempunyai agenda yang tersembunyi yang mungkin kita tidak sedari sama sekali.

Kepimpinan Melayu sudah terbukti berjaya dan diiktiraf oleh pelbagai bangsa di dunia dan ini sudah pastinya mengundang cemburu daripada mereka.

Dalam konteks ini, anak muda Melayu bolehlah diumpamakan sebagai hulu balang yang sepatutnya berada di barisan hadapan untuk mempertahankan institusi raja-raja Melayu dan pemimpin Melayu.

Tambahan pula, di fasa akhir zaman ini, kita akan menyaksikan pelbagai kacau-bilau, ujian dan fitnah dunia yang semakin marak dan menghimpit kehidupan kita.

Perkara ini akan terus bermaharajalela jika kita tidak kuat dan tidak bertakwa kepada Allah SWT. Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri kita dari syurga.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Oleh itu, anak muda perlu menjadi pahlawan di zamannya bukannya mensia-siakan hidup mereka dengan tidak berbuat apa-apa untuk agama, bangsa dan negara. Mereka kini tidak perlu menjadi pahlawan dengan melawan penjajah tetapi cukuplah dengan menjadi warganegara Malaysia yang baik dan menghormati undang-undang.

Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Singapura dan China sudah ada undang-undang untuk menahan pengguna Internet yang menyalahgunakan kemudahan tersebut.

Kita bimbang fitnah akan menjadi tabiat masyarakat kita. Internet bukan lagi tempat untuk percambahan ilmu tetapi dijadikan markas dan tempat untuk menjatuhkan pemimpin dan negara. Sikap tidak takut menyebar fitnah di alam siber ini akan menjadi barah kepada rakyat Malaysia.

Sebagai anak muda, inilah cabaran buat kita semua. Jangan terperangkap dengan menjadikan anak muda sebagai hantu atau zombie untuk berkeliaran di alam siber sebagai penyebar fitnah.

Jadilah think tank ketika kerajaan berhadapan dengan cabaran dan kesusahan. Tidak rugi untuk bertindak. Kita bukannya pengampu atau pembodek kerajaan tetapi ini adalah satu tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Kenapa perlu berasa malu untuk menyokong kerajaan sedangkan ia adalah untuk kebaikan negara kita sendiri?

PENULIS ialah Timbalan Presiden Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).


Tiada ulasan: