Khamis, 20 Ogos 2015

'Sila dedah siapa 20 MP guling kerajaan'

'Sila dedah siapa 20 MP guling kerajaan'
Bastien Onn 
 
 
SEGAMAT - Pemuda Umno Bahagian Segamat meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan segera senarai nama ahli Parlimen BN dan pembangkang yang didakwa ingin menggulingkan kerajaan.
 
Ketuanya, Bastien Onn berkata, pendedahan tersebut penting bagi membolehkan semua pihak termasuk golongan muda di peringkat akar umbi ‘menjauhkan diri’ daripada mereka supaya tidak terpengaruh dengan anasir membelot kerajaan.
 
“Pendedahan ini amat mengejutkan kami dan tindakan undang-undang selaras dengan peruntukan sedia ada juga perlu diambil kepada mereka ini bagi menjaga kerajaan yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat Malaysia.
 
“Selain itu pendedahan  senarai nama ini juga dilihat perlu bagi mengelak pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan memainkan isu ini dan terus mengelirukan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang membuat pendedahan terdapat usaha untuk menggulingkan kerajaan yang didalangi oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
 
 
 
 
Menurutnya, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad juga turut menafikan dakwaan ahlinya terlibat dalam komplot menggulingkan kerajaan dan menjelaskan kesemua ahlinya memberi sokongan kepada kerajaan dan parti memerintah.
 
Katanya, tindakan menyebarkan nama berserta gambar 20 ahli parlimen BN yang didakwa menjadi dalang mahu menggulingkan kerajaan di media sosial, baru-baru ini juga merupakan satu tindakan yang tidak beretika.
 
“Kami juga mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang menyebarkan dakwaan komplot itu kerana ia jelas menjatuhkan reputasi ahli-ahli parlimen yang tidak bersalah.
 
“Apa yang pasti, ramai yang ingin mengetahui siapa dalang sebenar yang ingin menggulingkan kerajaan ini dan kami meminta supaya Datuk Zahid dapat mendedahkannya dalam masa terdekat ini dan berharap isu ini bukan satu rekaan,” katanya.

Tiada ulasan: