Selasa, 4 Ogos 2015

Siapa murah hati derma RM2.6 bilion kepada Najib?



Oleh Fariz Musa


Jingga13 Malaysia sangsi dan mempertikai kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan skandal RM2.6 billion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak adalah hasil daripada sumbangan.

Malah SPRM ternyata gagal menyatakan siapakah penyumbang yang sangat bermurah hati menyumbangkan RM2.6 billion tersebut ke dalam akaun Najib menunjukkan satu tindakan untuk menutup isu dan kes tersebut secara dangkal dan tiada kredibiliti serta menjadikan SPRM sebagai badan yang sangat lekeh dan boleh dipertikaikan.

Jingga13 juga mendesak SPRM mendedahkan siapakah penderma yang sangat bermurah hati menderma RM2.6 billion tersebut kepada Najib.


Jingga13 mempersoal atas kapasiti dan sebab apa sumbangan tersebut dilakukan kepada Najib dalam jumlah yang sangat luar biasa?

Andai ianya adalah untuk membantu ekonomi negara, kenapa derma tersebut tidak dimasukkan ke dalam perbendaharaan negara?

Sekiranya sumbangan derma tersebut untuk Umno, kenapa tidak masuk dalam akaun Umno? Tetapi dimasukkan ke dalam akaun milik peribadi Najib.

Adakah ianya adalah sumbangan atau rasuah?

Ke manakah wang tersebut dibelanjakan kerana mantan peguam negara sebelum itu mengesahkan akaun tersebut sudah pun ditutup? Sungguh luar biasa wang sumbangan daripada penderma berjumlah RM2.6 billion dihabiskan sedemikian rupa!

Jingga13 yakin untuk menyelamatkan diri, Najib boleh sahaja mendapatkan mana-mana dokumen daripada sesiapa pun sebagai bukti konon ianya adalah merupakan sumbangan derma dari individu atau pihak tertentu dan bukannya daripada wang 1MDB.

Sehingga sekarang Najib tidak mengambil tindakan menyaman Wall Street Journal (WSJ) dan kenapa baru sekarang baru dinyatakan ianya adalah daripada sumbangan setelah mengugurkan Tan Sri Muhyidin Yassin dan Tan Sri Abdul Ghani Patail serta mengambil masa yang agak lama.

Kenyataan SPRM yang tidak ditandatangani sesiapa pun serta tanpa fakta yang jelas menimbulkan kesangsian terhadap keputusan siasatan SPRM dan dilihat semata-mata menyelamatkan Najib serta memperlihatkan SPRM sebagai badan yang tiada maruah, profesional, berintegriti dan kredibiliti.

SPRM juga gagal menunjukkan ketelusan apabila tidak ada sebarang tindakan untuk menahan Najib untuk diambil keterangan sepertimana lazimnya dilakukan kepada sesiapa yang dituduh melakukan salahlaku tersebut tetapi mengeluarkan kenyataan rasmi selepas 48 jam pejabat SPRM digeledah Cawangan Khas.

Jingga13 yakin seluruh rakyat Malaysia yang bijak tidak akan mempercayai kenyataan hasil siasatan SPRM tersebut dan mempercayai RM2.6 Billion tersebut adalah wang 1MDB yang diseleweng ke akaun peribadi Najib dan percaya, ini adalah satu konspirasi yang betujuan menyelamatkan Najib.

Muafakat*Prihatin*Berani –

* Penulis merupakan ketua Koordinator Jingga13 Malaysia.

Tiada ulasan: