Sabtu, 22 Ogos 2015

Raja Kamarul Bahrin sah Pengerusi GHB Terengganu

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad akhirnya menamatkan teka-teki berhubung statusnya dalam Gerakan Harapan Baru (GHB) apabila beliau secara rasmi mendedahkan dirinya kini Pengerusi GHB Terengganu.    
 
Memetik laporan mStar, pendedahan itu dilakukannya ketika menyampaikan ucapan semasa majlis pelancaran gerakan berkenaan di Kuala Terengganu, malam tadi.
 
Beliau kemudiannya mengakui perkara ini semasa sidang akhbar selepas majlis pelancaran di Dataran Shahbandar 
 
"Semuanya jelas sekarang. Semua persoalan telah terjawab," katanya.
 
Media sebelum ini melaporkan PAS Kuala Terengganu mengisytiharkan untuk memutuskan hubungan dengan Raja Kamarul susulan dirinya diisytiharkan secara rasmi sebagai Pengerusi GHB Terengganu, sepertimana yang telah diumumkan dalam himpunan GHB pada 31 Julai di Besut.
 
Raja Kamarul bagaimanapun menyelar tindakan berkenaan kerana pada ketika itu beliau masih belum menerima pelantikan jawatan berkenaan. 
 
Dalam pada itu, Raja Kamarul turut memberitahu, sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat, penting bagi beliau untuk bersama GHB bagi meneruskan khidmat kepada mereka selepas PAS Kuala Terengganu memutuskan hubungan dengannya.
 
"Ini adalah masa depan. Buat masa ini adalah jalan ke hadapan," katanya.
 
Beliau menambah, keahliannya sebagai ahli PAS akan berakhir sebaik sahaja GHB didaftarkan sebagai sebuah parti politik.
 
"Pendirian saya adalah bersama GHB dan saya dengan rasa sedih perlu menamatkan keahlian PAS saya," katanya.
 
 

Tiada ulasan: