KUCHING - Pas merancang untuk bertanding di lebih 10 kawasan pada
pilihan raya negeri Sarawak (PRN) akan datang, dengan enam daripadanya
sudah dikenal pasti manakala selebihnya masih dalam perbincangan antara
parti itu dengan sekutunya PKR Sarawak.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, enam
kawasan itu terdiri daripada Tanjung Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya,
Sebuyau, Beting Maro dan Belawei.
Beliau berkata jumlah kerusi yang ditandingi Pas nanti lebih besar berbanding PRN sebelum ini kerana parti itu yakin dengan sokongan ramai terhadap mereka, walaupun sedar Pas bakal berhadapan cabaran besar ekoran perpecahan dalam Pakatan Rakyat dan kemunculan Gerakan Harapan Baru (GHB).
Bercakap pada persidangan media selepas melancarkan jentera pilihan raya Negeri Sarawak Dewan Pemuda Pas di sini lewat malam tadi, Nik Abduh berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan parti itu di Sarawak, pembangkang dilihat bakal menghadapi cabaran besar pada pilihan raya negeri Sarawak kelak.
Ini lebih-lebih dari segi populariti Ketua Menteri Sarawak yang baharu Tan Sri Adenan Satem yang cukup besar, namun menurutnya PAS adalah sebuah parti yang sukakan cabaran.
Pada PRN lepas, Pas bertanding di lima kawasan Dun, namun parti itu
tidak pernah memenangi sebarang kerusi dalam Dun Sarawak walaupun sudah
bertapak di Sarawak sejak kira-kira 20 tahun.
GHB yang diterajui bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sebelum
ini dilaporkan akan ditubuhkan pertengahan September dengan hasrat
menyatukan semula parti politik pembangkang yang retak susulan keputusan
Pas dan DAP untuk menamatkan kerjasama politik antara mereka.
Bulan lepas seorang jurucakap GHB Sarawak berkata, pergerakan itu sudah
mengenal pasti calon mereka yang akan bertanding pada PRN akan datang.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan