Jumaat, 21 Ogos 2015

Presiden MIC: Subramaniam menang tanpa bertanding

SINAR HARIAN


 Presiden MIC: Subramaniam menang tanpa bertanding
Calon Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam (tiga, kanan) menerima sokongan dari penyokongnya selepas menyerahkan borang pencalonan sempena penamaan calon bagi pemilihan jawatan Presiden MIC yang baharu di bangunan ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr S.Subramaniam  menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden MIC untuk pemilihan semula penggal 2013-2016, selepas proses penamaan calon ditutup hari ini.
 
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk B.Sagadevan selepas proses pencalonan yang dianjurkan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim 2009 selama dua jam di ibu pejabat parti itu di sini, ditutup 6.30 petang tadi.
 
Dr Subramaniam, yang merupakan bekas timbalan presiden MIC sejak 2010 dan kemudiannya pemangku presiden MIC, menerima 450 pencalonan untuk jawatan nombor satu parti merangkumi 2,700 daripada 2,843 cawangan.

Pengumuman itu disambut dengan sorakan dan laungan kuat daripada lebih 2,000 penyokong dan perwakilan yang berkumpul di ibu pejabat MIC.

Sebelum ini, CWC Interim 2009 pada 24 Julai lepas mengumumkan pencalonan untuk jawatan presiden akan diadakan hari ini manakala pemilihan pula pada 6 September ini.
 
Menurut perlembagaan parti, calon yang mahu bertanding jawatan nombor satu dalam parti mesti menjadi pengerusi cawangan dan mendapat 50 pencalonan dan
setiap pencalonan perlu mempunyai seorang pencadang dan lima penyokong.
 
Kemenangan Menteri Kesihatan itu, bagaimanapun dijangka akan menghangatkan lagi krisis parti berusia 68 tahun itu berikutan bekas presiden Datuk Seri G.Palanivel pada 9 Ogos lalu turut diumumkan sebagai presiden parti dalam penamaan calon oleh penyokongnya.

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu Dr Subramaniam berkata beliau sedar kemenangan yang diperoleh itu merupakan satu tanggungjawab dan cabaran besar yang perlu dipikul.
 
"Terima kasih kepada semua anggota parti yang memberi kepercayaan kepada saya. Dengan kemenangan ini saya berazam akan menumpukan kepentingan kaum India dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, ekonomi dan sosial," katanya.
 
Katanya selain mempersiapkan jentera parti untuk menghadapi pilihanraya umum ke-14, MIC melalui kepimpinan yang baharu ini akan mengeratkan lagi hubungan parti dan masyarakat India melalui penubuhan satu majlis konsultasi.
 
Melalui majlis konsultasi itu, beliau berkata segala isu dan pandangan pemimpin luar daripada bidang politik akan diambil kira untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada masyarakat India. 
 
Dalam pada itu, beliau berkata pemilihan peringkat bahagian akan diadakan sepanjang bulan depan manakala pemilihan anggota CWC, timbalan presiden dan naib presiden parti akan diadakan pada Konvensyen Kebangsaan MIC, Oktober ini. 
 
Krisis MIC tercetus berikutan perbezaan pendapat antara Palanivel dan Dr S. Subramaniam selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengeluarkan notis pada 5 Dis tahun lepas dengan meminta parti itu mengadakan pemilihan semula parti.
 
Kemelut MIC mencapai kemuncaknya apabila Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam surat bertarikh 25 Jun kepada setiausaha agung CWC sementara MIC bagi 2009, A. Sakthivel, menyatakan bahawa secara "ipso facto", Palanivel bukan lagi anggota MIC.
 
Surat itu juga menyatakan bahawa Dr Subramaniam akan mengambil alih tugas Palanivel sebagai pemangku presiden MIC. 
 
Terdahulu, proses penamaaan calon bagi pemilihan jawatan presiden MIC itu tercemar berikutan kekecohan yang berlaku kira-kira 4.30 petang di perkarangan Ibu pejabat MIC menyebabkan beberapa individu termasuk anggota polis mengalami kecederaan.
 
Menurut seorang saksi, yang juga seorang Ketua Cawangan dari Selangor, kekecohan itu tercetus apabila kumpulan yang berkumpul di luar ibu pejabat melontar objek seperti kayu, batu dan botol minuman terhadap penyokong yang berada di dalam perkarangan bangunan itu.
 
"Akibat tindakan itu, penyokong yang berada di dalam turut membalas serangan dengan melontar objek sama ke arah pihak lawan," katanya.
 
Namun tindakan pantas anggota polis serta Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal keadaan. - Bernama
 
 

Tiada ulasan: