MALAYSIAKINI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan kenyataan bekas perdana
menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad bahawa sewaktu pemerintahannya, hanya RM10 juta diperlukan untuk setiap kempen pilihan raya umum.
Najib berkata beliau selalu mempertahankan Dr Mahathir tetapi kenyataan bekas perdana menteri itu perlu "munasabah".
Menurut Najib lagi perbelanjaan untuk deposit bagi semua kawasan sahaja berjumlah sehingga RM41juta.
"Itu dah lebih 10 juta," kata Najib pada Mesyuarat Agung Umno bahagian
Kepala Batas hari ini, yang dihadiri kira-kira 3,000 ahli.
"(Itu) tak termasuk berapa banyak baju T dan mesyuarat lagi.
"Nak kritik pun kena ada asas dan mesti masuk akal. Ia tidak logik dan
rasional. Oleh itu, saya akan betulkan keadaan," katanya lagi.
Perdana menteri berkata beliau menerima sebarang kritikan terhadap
beliau tetapi ia mempunyai saluran untuk melakukannya jika tidak rakyat
akan keliru.
Najib turut meluahkan rasa gembira terhadap rakyat di Kepala Batas yang tidak menerima kenyataan seumpama itu. [Baca berita asal]
Tak pernah persoal Pak Lah
Sementara itu, Bernama melaporkan Najib berkata dana politik
yang diterima adalah hak eksklusif presiden dan bendahari parti dan
tidak dibincangkan secara terbuka.
Beliau berkata malah perkara berkaitan dana politik tidak pernah
dibincang dalam perjumpaan tertutup parti dan majlis tertinggi Umno.
"Waktu saya jadi timbalan Pak Lah (bekas perdana menteri Tun Abdullah
Ahmad Badawi), saya tidak pernah menyoal Pak Lah. Saya tahu itu adalah
urusan presiden parti.
"Sampai sahaja pilihan raya fulus (duit) cukup, itu saja yang kita nak
tahu ... bagaimana presiden dapat dana, siapa bagi sumbangan itu hak
budi bicara presiden. Kenapa pula nak dipersoalkan waktu saya jadi
presiden parti," katanya.
Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas di
Kepala Batas, Perdana Menteri berkata selaku presiden UMNO beliau
mengamalkan prinsip yang sama dengan presiden parti terdahulu.
"Apa yang saya buat adalah untuk kepentingan parti dan bukan untuk
peribadi ... apa yang saya buat tidak menyalahi undang-undang negara,"
katanya.
Najib berkata sepanjang menjadi timbalan kepada Abdullah, beliau tidak
pernah menyoal bekas presiden Umno itu atas urusan-urusan yang diketahui
menjadi hak dan budi bicara presiden parti.
Begitu juga dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,
katanya beliau mempertahankan Dr Mahathir selama 22 tahun sebagai
perdana menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan