Ahad, 9 Ogos 2015

Perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang ‘lesu’ bila Najib berucap

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Sebahagian perwakilan yang menghadiri mesyuarat Umno Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor, yang dirasmikan Datuk Seri Najib Razak, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 9 Ogos, 2015.Sebahagian perwakilan yang menghadiri mesyuarat Umno Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor, yang dirasmikan Datuk Seri Najib Razak, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal,  


Lebih 700 perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang kelihatan lesu apabila Datuk Seri Najib Razak mula berucap merasmikan mesyuarat perwakilan pagi tadi. 

Nada berbeza perwakilan yang bersemangat ketika Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Khaled Nordin berucap sebelum itu seakan luntur apabila seakan tidak memberikan tumpuan semasa ucapan Najib, lebih-lebih lagi ketika beliau menyentuh isu membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

 Malah semasa menyentuh isu BR1M, perwakilan di dalam dewan juga seakan tidak memberikan tumpuan penuh kepada ucapannya.

 "Tuan-tuan nak BR1M lagi ke tidak," katanya dan disahut:"Tidak" oleh sebahagian perwakilan.

 "Kalau tidak saya batalkan BR1M, ada cara lain ke lebih baik?" soal Najib kepada perwakilan dalam ucapannya.

Malah, ketika menyentuh isu membabitkan skandal-skandal oleh pentadbiran kerajaan terdahulu, perwakilan turut mendesaknya mendedahkan skandal-skandal tersebut, namun Najib tidak mendedahkannya.

"Dalam sejarah kita banyak lagi isu, 1MDB belum ada kerugian.

 "MAS kita dah tampung berapa bilion, penjualan saham MAS ini pun ada isu, nak sebut saya boleh sebut.

 "Kalau saya sebut saya membuka pekung di dada, kalau tak sebut saya pula yang dipersalahkan," katanya, dan disahut: "bukalah!" oleh perwakilan yang hadir.

Khaled juga sebelum ketibaan Najib mendedahkan dalam ucapannya atas kapasiti ketua Umno Bahagian, perdana menteri meminta untuk merasmikan mesyuarat perwakilan berkenaan dan bukannya atas jemputan mereka.

 Beliau turut mengingatkan ahli Umno di Bahagian Pasir Gudang agar menjadi tuan rumah yang 'baik dan berdisiplin'.

 "Persidangan kali ini amat bertuah kerana presiden parti akan rasmikan, presiden yang minta untuk rasmikan dan bukan atas kehendak bahagian

 "Kerana 2 bulan lepas, presiden melalui setiausaha Umno maklumkan mahu rasmikan (mesyuarat) bahagian," katanya, dalam ucapan pertama itu.

Kehadiran Najib di Johor hari ini adalah pertama kali sejak beliau menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri daripada rombakan Kabinet yang dilaksanakannya hujung bulan lalu.

Tiada ulasan: