Sabtu, 15 Ogos 2015

Penyusutan Ringgit mungkin jejas pelajar Malaysia ke New Zealand, kata pesuruhjaya



Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia, Dr John Subritzky berkata kedudukan nilai mata Ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat akan mempengaruhi keputusan pelajar untuk memilih destinasi pendidikan di luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Ogos, 2015.Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia, Dr John Subritzky berkata kedudukan nilai mata Ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat akan mempengaruhi keputusan pelajar untuk memilih destinasi pendidikan di luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Penyusutan nilai Ringgit mungkin menjejaskan rancangan sejumlah pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di New Zealand, kata Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia, Dr John Subritzky.
 
Beliau berkata kedudukan nilai mata wang itu berbanding dolar Amerika Syarikat akan mempengaruhi keputusan pelajar untuk memilih destinasi pendidikan di luar negara.
 
Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai penyusutan Ringgit Malaysia.

Katanya pendidikan merupakan komponen penting yang menjalinkan hubungan dua hala yang lebih akrab antara Malaysia dan New Zealand. 
 
"Sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara New Zealand dan ASEAN tahun ini, kami ingin melihat lebih banyak pelajar Malaysia memilih New Zealand sebagai destinasi pendidikan mereka," katanya kepada Bernama sempena Pameran Pendidikan New Zealand (ENZ), di Petaling Jaya hari ini.
 
Buat masa ini, terdapat lebih 1,800 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian di negara itu.
 
Menurut ENZ,  setakat bulan lepas, terdapat peningkatan 69% jumlah pelajar baharu Malaysia mengikuti pengajian di universiti dan institusi latihan swasta di negara itu. – Bernama,


Tiada ulasan: