shahbudindotcom
Dulu
ketika menjadi Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi pernah berjanji
untuk mendedahkan siapakah dalang di sebalik pencerobohan Lahad Datu,
tapi sampai sekarang ianya senyap begitu saja.
Kali
ini beliau mendedahkan pula dalang yang mahu menggulingkan kerajaan
melalui undi tak percaya di Parlimen dengan kerjasama Ahli-Ahli Parlimen
pembangkang.
Bahkan,
mungkin disebabkan sudah naik pangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri
di samping Menteri Dalam Negeri yang tambah luas jajahan kuasanya,
maklumat yang diperolehinya mengenai dalang menggulingkan kerajaan ini
lebih langkap dan terperinci lagi.
Beliau
siap mendedahkan bahawa perancangan tok dalang itu ialah melibatkan
akaun bersumpah tujuh halaman dengan kertas kuning yang disediakan oleh
peguam yang juga diketahuinya identitinya.
Sehari
selepas pendedahan itu pula, Zahid kemudiannya mengatakan tok dalang
tersebut sudah sedar mengenai tindakannya dan akan bertemu Perdana
Menteri, Najib Razak pada jam 6 petang semalam (Ahad) untuk meminta maaf.
Maklumat
yang diberikan Zahid itu menyebabkan para wartawan berkampung di Seri
Perdana dan kediaman peribadi Najib di Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk
mengetahui siapakah dalang tersebut.
Malangnya, setelah menunggu kira-kira lima jam bermula jam 5 petang hingga 10 malam, langsung tiada kelibat sesiapa yang datang menemui Perdana Menteri.
Najib pula dikesan sampai ke rumahnya daripada merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Gerik menjelang jam 8 malam.
Kesian wartawan...
Pewakilan Wanita UMNO Langkawi, Anina Saduddin yang video ucapannya tersebar luas sebelum ini mengatakan Najib telah "kencing" tiga juta ahli UMNO, pasti sekali lagi akan menyebut perkataan itu jika tindakan Zahid ini berlaku sebelum beliau berucap.
Bagaimanapun
pada sebelah malamnya pula ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO
Bahagian Lumut, Zahid mendedahkan bahawa Muhyiddin Yassin tidak terlibat
dalam komplot mahu menggulingkan kerajaan itu.
Sambil
itu, di depan Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak yang juga Ketua
UMNO Bahagian Lumut yang memang diketahui penyokong kuat Muhyiddin,
Zahid turut mendedahkan mereka berdua mempunyai hubungan yang akrab
dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Kami (Zahid dan Zambry) pernah sama-sama jatuh, jadi kami faham perasaan orang jatuh, tambahnya lagi.
Ehem, ehem...pertahankan Muhyiddin pulak?
Tidakkah
Muhyiddin sehari dua ini banyak mempersoalkan kepimpinan Najib Razak
berkaitan 1MDB dan derma RM2,600 juta yang diakui masuk ke akaun
peribadinya?
Dari
Kemaman, kemudian ke Semporna hinggalah ke Pontian, pentas perasmian
mesyuarat perwakilan UMNO minggu ini meriah dengan peluru-peluru yang
dilepaskan oleh Muhyiddin kepada Najib.
Tetapi
Zahid yang antara peranan utamanya dilantik sebagai orang nombor dua
dalam kerajaan ialah untuk mempertahankan Najib, bukan saja tidak
menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh Muhyiddin itu,
bahkan membersihkan lagi nama Timbalan Presiden UMNO itu tidak terlibat
dalam komplot mahu menjatuhkan kerajaan.
Selepas
beliau mendedahkan adanya dalang yang mahu menjatuhkan Najib dan
menggulingkan kerajaan, jawapan yang ditunggu oleh orangramai tentunya
ialah siapakah orang yang dimaksudkannya itu?
Kalau
betul sudah ada cukup maklumat dan yakin ianya bukan maklumat tepi
jalan atau khabar yang dibawa oleh burung-burung berterbangan, malah
berdegar-degar mengatakan langkah mayatnya dulu jika pertukaran kerajaan
melalui pintu belakang mahu dilakukan juga, maka dedahkanlah nama siapa
dalang itu?
Buat apa mendedahkan tentang Muhyiddin yang tidak terlibat? Orang ingin tahu siapa yang terlibat, bukan siapa yang tak terlibat.
Ngomonglah sopo dalang sing terlibat, sopo sing orak terlibat...ojo meneng waeh...
Peninglah....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan