Ahad, 16 Ogos 2015

PAS sedia hadapi cabaran pada PRU14, tidak pernah rasa tergugat - Nasrudin

Oleh Syed Muaz Syed Putra

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: PAS tidak pernah berasa tergugat dengan tindakan ahlinya keluar parti dan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) malah bersedia menanti kehadiran serta cabaran NGO itu dalam pilihan raya umum akan datang.
 
Ketua Penerangan PAS Pusat Nasruddin Hassan berkata GHB yang dijangka dibentuk sebagai parti politik bukan ancaman besar kepada parti berteraskan Islam itu.
 
"Tidak, kita tidak pernah berasa tergugat kerana kita sudah siap untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dan sedia hadapi apa sahaja," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau juga optimis pengundi tidak akan berpihak kepada GHB meskipun terdiri daripada pemimpin kanan PAS yang tewas dalam pemilihan parti pada Jun lalu.
 
"Pengundi ini ada pelbagai segmen yang mana berisan utama biasanya dari kalangan veteran ataupun saluran satu yang mana mereka kebiasaannya akan memilih parti dan yang kedua golongan kedua anak muda yang mana mereka ini celik IT dan ada maklumat," katanya.
 
Nasrudin diminta mengulas kesediaan GHB menentang PAS dalam pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan pada awal 2017.
 
Sebelum ini, Penyelaras Harapan Baru Selangor Ir Izham Hashim berkata kesediaan menentang PAS bukannya bermaksud GHB akan mencabar setiap kerusi yang ditandingi parti Islam itu sebaliknya bergantung pada rundingan masa depan bersama Pakatan 2.0 iaitu PKR dan DAP.
 
Untuk rekod, GHB akan mengambil alih parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan bercadang melancarkan semula parti itu pada 31 Ogos ini.
 
GHB adalah satu gerakan yang diterajui bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu selain membariskan beberapa bekas pimpinan utama termasuk bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, bekas Setiausaha Agung Datuk Kamaruddin Jaafar dan bekas Naib Presiden Salahuddin Ayub.
 
Tidak mudah pengundi ubah sokongan terutama kepada parti baru
 
Nasrudin menambah dengan senario semasa hari tidak mudah untuk rakyat terpengaruh dan menyokong parti baru kecuali ia mempunyai dasar serta prinsip perjuangan yang kukuh untuk menarik keyakinan umum.
 
"Jadi saya fikir tak mudah jugalah pengundi untuk terpengaruh dengan begitu sahaja kecuali sesuatu parti yang bertanding itu membawa dasar dan matlamat perjuangan yang jelas, kukuh dan mampu untuk membina keyakinan rakyat," katanya.
 
Bagaimanapun tegas Ahli Parlimen Temerloh ini, PAS tidak pernah memandang rendah kemampuan serta keupayaan parti yang bertanding dalam pilihan raya.
 
"Bagi PAS kita tidak pernah memandang kecil keupayaan parti yang bertanding dalam pilihan raya tetapi dalam masa yang sama kita tidak pernah rasa tergugat atau terancam kerana PAS mempunyai aset undi yang tersendiri," katanya.
 
Beliau menambah PAS telah biasa melalui perkara itu dan terpulang kepada ahli parti membuat pilihan sama ada keluar parti atau terus bersama kepimpinan PAS sekarang.
 
Susulan daripada siri jelajah GHB, PAS memutuskan untuk mengkaji sejauh mana NGO berkenaan boleh merosakkan parti itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya terhadap ahlinya yang menyertai gerakan terbabit.
 
Difahamkan PAS kini sedang menerima laporan mengenai pembabitan ahlinya dengan gerakan itu dan ia harus diteliti dengan sebaik mungkin sebelum sebarang keputusan dibuat.
 
 

Tiada ulasan: