Jumaat, 21 Ogos 2015

Nik Abduh sindir ahli Pas keluar parti

 
Dia menyifatkan keputusan berkenaan telah meringankan beban parti itu


nik-abduh-4


PETALING JAYA : Tindakan mereka yang mengisytihar keluar parti dan melepaskan jawatan yang disandang dalam Pas satu penyelesaian mudah kepada parti itu.

Ketua Pemuda Pas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan keputusan berkenaan telah meringankan beban parti Islam itu.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, dia dengan sinis menyindir mereka yang terbabit.

“Dalam maklumat yang saya perolehi secara rasmi, masih ada yang belum isytihar. Untuk memudahkan, saya berharap mereka memilih jalan yang sama. Ia membantu kedua-dua pihak yang bertelagah.

“Pas Shah Alam misalnya, bertindak cepat mengisi kekosongan. Begitu juga kawasan-kawasan yang telah dikosongkan dan akan dikosongkan selepas ini. Saya doakan Pas akan kembali teguh berperanan di dalam masyarakat seperti asalnya,” katanya.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menambah, selepas pemilihan pada Muktamar Pas yang lalu, masalah dalaman parti itu semakin pulih.

“Dapatan rasmi menunjukkan Pas semakin bersatu setiap hari selepas krisis yang melanda pasca muktamar baru-baru ini.

“Malah, lebih menggembirakan, banyak Pas kawasan yang ditanda dan dilihat keliru dan bertitik panas telah menunjukkan respon dan tindak balas sebaliknya.

“Saya ucapkan tahniah khas kepada Pas Johor, Selangor dan Perak, tiga negeri besar yang begitu kuat diserang oleh rakan GHB, tetapi mereka bertindak balas menolak fitnah dan tohmahan yang dilemparkan dengan menampilkan sikap istiqamah yang tinggi,” katanya.

Tiada ulasan: