MALAYSIAKINI
'Pasukan sayur', demikian kata Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden
Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Musa Aman yang berang
dengan aksi permainan hambar yang ditunjukkan skuad Sabah Rhinos dalam
Liga Perdana Malaysia, musim ini.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan prestasi pemain bola sepak
Sabah yang disifatkannya sebagai tidak berdaya saing, tidak komited dan
kurang ketahanan serta tidak berdisiplin.
"Saya tidak mahu hipokrit. SAFA berbelanja berjuta-juta ringgit untuk
pasukan bola sepak negeri ini, tetapi yang mengecewakan mutu permainan
bukan meningkat tetapi semakin menurun.
"Kenapa pasukan kita tidak boleh menjadi seperti negeri lain kalau
mereka boleh menang, kita seharusnya boleh menang jugak," katanya ketika
berucap menyempurnakan majlis penutupan Kejohanan Bola Sepak Piala
Datuk Musa Aman 2015, di Klagan Regency Hotel dekat Kota Kinabalu malam
tadi.
Musa berkata, setiap pemain perlu aktif dan menunjukkan komitmen tinggi
serta bekerja dalam satu pasukan bagi memastikan skuad Sabah Rhinos
mencapai kemenangan berterusan dan muncul sebagai juara liga.
"Jangan bergantung kepada pemain luar semata-mata, bermain bola perlu
kerja perpasukan, kalau separuh sahaja yang bermain dengan
bersungguh-sungguh pun
tidak menjadi, semua kena aktif baru betul," katanya.
Setelah mengharungi 20 perlawanan, Sabah kini berada pada kedudukan
tangga ketujuh dengan pungutan 27 mata. Terbaharu, pada aksi perlawanan
menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Sabah gagal
memungut mata penuh apabila kalah 4-0.
Sabah bakal bertandang ke Stadium Darul Aman bagi menentang Kedah esok
(18 Ogos), sekaligus merupakan perlawanan terakhir Sabah untuk Liga
Perdana Malaysia musim ini.
Sementara itu, Musa dalam ucapan beliau berkata tujuan kejohanan bola
sepak Piala Datuk Musa Aman itu diadakan adalah untuk mencungkil lebih
banyak pemain muda yang berbakat di negeri ini untuk didedahkan ke
peringkat negeri dan kebangsaan.
Musa berharap anak-anak muda yang terpilih dapat memanfaatkan peluang
sedia ada dan berusaha menjadi pemain yang berdisiplin, berdaya saing
dan komited terhadap pasukannya.
Pasukan bola sepak Sandakan muncul juara pada Kejohanan Piala Datuk Musa
Aman itu dengan membawa pulang wang tunai RM25,000, piala pusingan
berserta pingat.
Naib juara dan tempat ketiga masing-masing disandang oleh pasukan Tenom
dan Tawau yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,500 dan RM4,500
berserta piala dan pingat.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan