Ahad, 2 Ogos 2015

Muhyiddin mahu jadi PM?



Oleh Anuar Mohd Nor

Umno bergolak – pemecatan Timbalan Perdana Menteri dan angkatan yang mempersoalkan 1MDB menyaksikan pergolakan baru dalam Umno. Datuk Seri Zahid Hamidi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam apa yang dikatakan usaha untuk mengukuhkan kabinet yang akan menyokong Datuk Seri Najib Razak .

Tindakan memecat – menggantikan bukan sahaja tertumpu pada rombakan dalam kabinet malah penukaran – menggantikan Peguam Negara merupakan langkah yang dikatakan untuk menguatkan keadaan Najib yang tercabar hebat. Semua disusun atas alasan tertentu – memastikan Najib terus menjadi Perdana Menteri.

Apa alasan Muhyiddin – sewaktu mengkritik hebat 1MDB – menyuarakan kegusaran rakyat – menyatakan ketakutan Umno akan tewas – mendesak mendengar keluhan rakyat – isu GST dan sebagainya di Cheras, sewaktu penutupan Perhimpunan Bahagian Umno Cheras baru-baru ini.

Adakah Muhyiddin mahu mempercepatkan proses desakan Najib meletak jawatan dan mahu menjadi Perdana Menteri baru dengan tergesa-gesa. Adakah Muhyiddin tidak sabar-sabar mahu menjadi Perdana Menteri – sehingga akhirnya menjadi alasan beliau di pecat. Adakah suara Muhyiddin dikatakan suara Dr Mahathir – yang mahukan Perdana Menteri yang mengikut cara dan arahan beliau.


Apa dalam minda Muhyiddin dan apa strategi beliau seterusnya selepas menzahirkan kritikan tersebut.

Adakah beliau menganggap Najib akan terus meletak jawatan? Adakah beliau anggap beliau akan dilantik sebagai PM setelah mengkritik secara terbuka kepimpinan Najib. Apa pun sesuatu yang pasti – beliau tidak mendesak Najib untuk melepaskan jawatan seperti mana beliau secara terang mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk meletak jawatan.

Lebih dari itu beliau pasti tahu – kritikan beliau akan mengundang reaksi dari Perdana Menteri Malaysia. Adakah Muhyiddin sebagai orang lama dalam politik tidak terfikir beliau mungkin di pecat apabila mengeluarkan kritikan keras tersebut.

Kenapa ambil risiko sebegitu – sekiranya beliau mahu bercita-cita mengambil alih tampuk pemerintahan negara, kritikan dan desakan suara-suara lain sudah cukup kuat dan adakah beliau rasa sekiranya beliau membuat konklusi keseluruhan maka Najib terpaksa melepaskan jawatan. Satu andaian yang meleset dan bukan dari seorang yang sudah matang berpolitik.

Apa langkah seterusnya Muhyiddin? Adakah setelah mengkritik keras kepimpinan Najib – memberi alasan ini adalah suara akar umbi – suara rakyat yang semakin gusar melihat peningkatan kos dan keresahan Umno/BN akan tewas – beliau akan duduk berdiam dan mengatakan sokongan pada Umno dan bekerja untuk Umno. Adakah selepas tindakan beliau menzahirkan secara terbuka kegusaran yang ada – selepas itu mengajak semua ahli – untuk terus menyokong Umno – menguatkan Umno dan terus bekerja untuk Umno. Adakah ini sebenarnya konklusi yang dimahukan Muhyiddin setelah mengambil jalan mengundang pemecatan.

Apa sebenarnya yang Muhyiddin mahu? Apa yang diharap dari kritikan terbuka terhadap PM – apa yang diharap dari pemecatan dan apa yang mahu diusulkan beliau selepas ini. Adakah sebenarnya Muhyiddin terperangkap akhirnya – tidak mendapat sokongan untuk memastikan Najib melepaskan jawatan atau memastikan Umno melakukan transformasi yang sebenarnya atau langkah-langkah seterusnya belum berakhir dari beliau.

Amat mustahil – setelah melakukan tindakan drastik mengkritik kepimpinan tertinggi Umno yang juga Perdana Menteri Malaysia - dalam isu 1MDB dan isu-isu lain mengenai kegusaran rakyat dan kedudukan Umno – Muhyiddin akan hanya berdiam dan menumpukan kerja-kerja memperkasakan Umno dalam keadaan persekitaran yang tidak memberikan ruangan baik untuk Umno – dalam keadaan politik Umno yang semakin berserabut – dalam keadaan isu 1MDB dikatakan tidak selesai – dalam keadaan ada tuduhan mengenai kemasukan wang dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Adakah persoalan ini semata-mata berpaut kepada Muhyiddin mahu menjadi Perdana Menteri dan tidak sabar mahu menjawat jawatan itu atau banyak perkara yang mahu di selongkar menunggu ketepatan waktu sahaja. Apa juga keadaan – Umno dalam zon bahaya.

Tiada ulasan: