Isnin, 10 Ogos 2015

MIC: Krisis semakin kusut atau bertambah baik



Oleh HASSAN MOHD. NOOR 


KETIKA parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO sedang ‘bergelut’ de­ngan pelbagai isu yang cuba ‘me­runtuhkan’ keyakinan terhadap kepemimpinannya, parti itu masih mampu meneruskan persidangan perwakilan sama ada di peringkat sayap atau bahagian dengan baik.

Di pentas persidangan itu, pe­mimpin dapat menjelaskan pelbagai isu dalam bentuk serangan dan tohmahan yang sedang ‘bermain’ di benak fikiran anggota parti.

Sekurang-kurangnya kekusutan me­ngenai 1MDB, rombakan Kabinet, dana politik RM2.6 bilion dan pelbagai lagi akan terungkai sedikit. Pada masa yang sama, jangan pula lupa memberi sedikit perhatian kepada masalah rakyat yang turut dirasai anggota UMNO terutama kejatuhan nilai ringgit. Itu cerita dalam ‘rumah tangga’ UMNO.

Malangnya, salah satu parti komponen BN iaitu MIC sedang berkecamuk, seperti anak ayam kehilangan ibu. Walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dikatakan telah mengisytiharkan G. Palanivel bukan lagi ahli tetapi apa yang berlaku semalam menggambarkan suasana di sebaliknya.

Kumpulan yang diketuai Palanivel mengadakan proses pencalonan dan pemilian jawatan presiden di Sentul, dekat Kuala Lumpur. Selak difahamkam, sebanyak 2,004 pengerusi cawangan hadir pada perhimpunan bagi memilih Presi­den MIC. Palani­vel yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Alam

Sekitar itu diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden MIC bagi penggal 2013-2016.
Beliau mendakwa mendapat 334 pencalonan. Dalam reaksi segera kepada proses penamaan calon itu, Pemang­ku Presiden MIC, Dr. S. Subramaniam berkata:

“Saya diberitahu ada pencalonan yang telah berlangsung di Sentul pagi ini (semalam) untuk jawatan presiden parti MIC, itu bukan sah, tidak rasmi dan tidak diterima oleh mana-mana pihak termasuk parti,”

Pada hari yang sama, Subramaniam mengadakan Konvensyen Khas Pengerusi-Pengerusi Cawangan MIC 2015 di Kuala Lumpur. Beliau mendakwa 2,800 pengerusi cawangan MIC yang hadir bersetuju tidak mengiktiraf pemilihan yang dikendalikan oleh Palanivel.

Konvensyen itu juga sebulat suara menyokong beberapa re­­solusi termasuk menerima kehilangan keanggotaan lima anggota MIC secara persendirian (Ipso Facto) termasuk Palanivel. Empat lagi ialah S. Sothinathan dan S. Balakrishnan (naib pre­siden), A.

Prakash Rao (bekas setiausaha agung) dan A. K. Ramalingam (CWC). Kumpulan Subramaniam yang mengetuai Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim MIC 2009 akan mengadakan pencalonan bagi jawatan Presiden pada 21 Ogos ini. Sekiranya berlaku pertandingan, pemilihan akan berlangsung pada 6 September.

Perkembangan semalam menunjukkan krisis MIC dijangka berlarutan. Apa pula yang akan berlaku pada 21 Ogos ini? Mungkinkah krisis pada kali ini sebagai yang terburuk dalam sejarah 68 tahun MIC? Jika diselak krisis sebelum ini, antara lain melibatkan pemecatan Naib Presiden, M.G Pandithan, wujud Gerakan Anti Samy (GAS) dan perselisihan yang melibatkan Samy Vellu dengan timbalannya,

S.Subramaniam yang membawa mereka bertembung untuk jawatan presi­den pada tahun 1989. Akibat pemecatan dan penyingkiran pada era Samy Vellu itu juga me­lahirkan parti serpihan MIC termasuklah yang kekal sehingga ke hari ini, Barisan Kemajuan India (IPF) yang diasaskan oleh Pandithan.

Bagaimanapun krisis da­laman yang berlaku sebelum ini boleh diatasi dengan baik. Walaupun mengalami kekalahan teruk dalam beberapa pilihan raya umum (PRU) lalu, MIC masih mendapat sokongan. Apa pun krisis dalaman sekarang sudah berlarutan begitu lama dan perhimpunan agung parti yang sepatutnya berlangsung pada 13 dan 14 Disember 2014 terpaksa ditangguhkan.

Dalam menghadapi kemelut ini, kumpulan Palanivel dan Subramaniam masing-masing mengaku mempunyai sokongan pengerusi cawangan dari seluruh negara. Difahamkan, MIC mempunyai 3,700 cawangan. Krisis MIC tercetus berikutan perbezaan pendapat antara Palanivel dan Dr. Subramaniam selepas ROS mengeluarkan notis pada 5 Disember 2014 dan meminta MIC mengadakan pemilihan se­mula parti.

 Difahamkan ROS, dalam surat bertarikh 25 Jun lalu kepada Setiausaha Agung CWC sementara MIC bagi 2009, A. Sakthivel, menyatakan bahawa secara “ipso facto”, Palanivel bukan lagi anggota MIC.

Begitulah ceritanya krisis MIC sehingga semalam. Persoalannya apakah episod seterusnya? Adakah ketika ini setiap cawangan mempunyai dua pengerusi? Satu memihak kepada Palanivel dan satu lagi Subramaniam? Ibarat satu kapal dua nakhoda. Apakah kesudahannya sekalipun Subramaniam disahkan sebagai Presiden MIC?

Di atas kertas, mungkin masalah siapa presiden akan selesai. Bagaimana pula di peringkat bawah? Adakah anggota-anggota parti boleh menerima keputusan akibat ‘masalah teknikal’ ini? BN yang ditunjangi UMNO perlu melihat situasi ini supaya tidak ada pihak yang rasa terluka atau dipinggirkan begitu mudah.

Sesuatu harus dilakukan. Jika perlu, sebuah badan bebas hendaklah ditubuhkan bagi membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan. Carilah formula yang dapat melibatkan dua kumpulan ini supaya perpaduan dalam kalangan masyarakat India tidak berpecah. Jika situasi hari ini berterusan, kemungkinan undi masyarakat India kepada BN akan terjejas.

Harus diingat, pendirian politik akan hanya diketahui semasa di peti undi PRU. Apakah reaksi sebenar masyarakat India apabila Palanivel digugurkan sebagai menteri?

Kedudukan MIC dalam Kabinet kembali kepada asal dengan satu jawatan menteri. Mungkin kedudukan sebelum ini - dua jawatan menteri - hanya boleh dikembalikan apabila MIC dalam keadaan tenang.

Bagi tujuan ini, pemulihan MIC perlu disegerakan. Jangan biarkan masyarakat India kehilangan parti politik yang boleh menjadi pelin­dung mereka. Jika BN masih mengharapkan undi masyarakat India, MIC perlu dipulihkan dan tidak membiarkan anggota parti itu tercari-cari siapakah yang benar. Presiden dan timbalan presiden boleh bersilih ganti tetapi anggota parti perlu dikekalkan bukannya beralih mencari perlindungan di tempat lain sama ada DAP, PKR atau mana-mana parti pembangkang.-U/Malaysia

Tiada ulasan: