Isnin, 24 Ogos 2015

Mesyuarat UMNO dah jadi drama sinetron – Anina

 
Tidak mustahil mesyuarat UMNO bahagian bertukar pula menjadi cerita kartun kerana penerangan berbeza isu derma RM2.6 bilion.

VIDEO INSIDE
 
anina


PETALING JAYA: Mesyuarat UMNO bahagian yang sedang berjalan sejak beberapa minggu lalu di seluruh negara telah menjadi seperti drama sinetron yang popular di kaca televisyen.

Dakwaan itu dibuat oleh Ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saaduddin yang terkenal dalam sekelip mata selepas rakaman ucapannya mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi viral.

Katanya, perwakilan UMNO yang menghadiri mesyuarat bahagian telah disajikan dengan versi penerangan yang berbeza-beza oleh pemimpin UMNO terutama isu derma RM2.6 bilion yang diterima oleh Presiden parti.

Katanya, tidak mustahil mesyuarat UMNO akan bertukar daripada drama sinetron kepada cerita kartun sekiranya penerangan berbeza itu berterusan.

“Mesyuarat itu (mesyuarat UMNO bahagian) hanya menerangkan (derma RM2.6 bilion) untuk politik, pilihan raya, Islamic State (ISIS), Yahudi dan selepas ini apa pula.

“Jangan sampai musim ‘sinetron’ ini akan menjadi musim kartun,” katanya dalam satu temubual yang dimuat naik di laman YouTube.

Sehubungan itu, Anina menggesa Najib supaya untuk tampil dan memberi penerangan yang jelas kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ini kerana, katanya, Perdana Menteri bukan sahaja berdepan dengan tiga juta ahli UMNO tetapi dengan 28 juta rakyat Malaysia.

“Sama ada mereka layak atau tidak mengundi, mereka berhak untuk tahu perkara yang sebenar kerana ini melibatkan parti yang memerintah,” katanya.


Tiada ulasan: