shahbudindotcom.
Apabila
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi tiba-tiba mendedahkan
adanya usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui undi tidak percaya
yang diketuai oleh seorang pemimpin UMNO, segera kedengaran banyak
sosek-sosek menimpa dirinya kembali.
Ramai
yang mengatakan, apa salahnya pertukaran kerajaan selain pilihanraya,
jika bukan dengan kekerasan atau angkat senjata. Di Sabah, beberapa kali
pernah berlaku dan di Perak ia baru saja berlaku pada 2009 lalu. Takkan
Zahid tak tahu, kata mereka,
Sambil
itu, rama juga yang mengingatkan Zahid agar tidak lupa bahawa
pendedahannya mengenai pemimpin pembangkang yang didakwanya menjadi
dalang tragedi Lahad Datu, sehingga sekarang masih tidak dijawabnya
lagi.
Kata mereka, janganlah hendaklah pendedahan kali ini juga tiada jawapannya sampai akhirnya.
Begitu
juga dakwaannya bahawa beliau mempunyai bukti Mohamad Sabu terlibat
dengan ajaran Syiah, sampai sekarang juga gagal ditunjukkannya kebenaran
itu kepada umum.
Memangnya
Zahid, terutama sejak menjadi Menteri Dalam Negeri, suka menunjukkan
beliau mempunyai maklumat itu dan maklumat ini, tapi akhirnya tidak
lebih sekadar khabar yang dikutip daripada burung-burung berterbangan
saja.
Ada
pula berkata, Zahid tidak sepatutnya cuba memesongkan isu kerana beliau
perlu lebih menumpukan perhatiannya untuk menjawab pertanyaan rakyat
mengenai syarikat adiknya yang terlibat dalam bidaan menguruskan
kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh melalui Kementerian Dalam Negeri
yang diterajuinya.
Tambahan
lagi, jika dilihat daripada pendedahan Zahid itu, beliau seperti
mempunyai maklumat yang cukup lengkap mengenai usaha menggulingkan
kerajaan itu. Tapi, sebagaimana selalu, beliau suka membiarkan orang
berteka-teki, sama seperti orangramai mungkin berteka-teki sampai mati
mengenai dalang Lahad Datu dan bukti syiahnya Mat Sabu.
Sehingga
ini, dua pemimpin UMNO yang paling mungkin terlibat sebagaimana dakwaan
Zahid itu, sudah pun menafikan penglibatan mereka. Muhyiddin Yassin
mengatakan bodohlah jika beliau melakukannya kerana sudah terlibat
dalam pembinaan kerajaan ini sejak 40 tahun yang lalu.
Tengku
Razaleigh Hamzah pula berkata, beliau masih bersama kepimpinan Najib
sambil menyindir, kerajaan hanya dapat digulingkan melalui kekuatan
tentera dan tidak ada mana-mana individu yang mampu melakukannya dengan
kekuatan biasa.
Begitulah
bila Zahid sekali lagi cuba bikin gempar dalam negara. Bukannya
kenyataannya itu mahu disokong atau dipuji, tetapi lebih ramai yang
ragu-ragu dan skeptikal dengannya.
Sebabnya
tidak lain ialah kerana Zahid dikenali sebagai pemimpin yang suka
baling "bom asap" saja selama ini. Kadang-kadang berita dari burung
berterbangan saja sudah dianggap seperti wahyu dari Tuhan.
Beliau
sebenarnya membaling bom bukan untuk membunuh musuh tetapi agar semua
tumpuan tertuju kepada kepulan asap itu saja. Apa gerakannya di sebalik
asap berkepul-kepul itu hanya beliau saja mengetahuinya.
Sebab
itu, jangan marah, kritik atau hentak Zahid dengan kenyataannya kali
ini. Sekarang beliau sudah jadi orang nombor dua dalam kerajaan, tetapi
kedudukannya masih belum selamat lagi untuk menjejak singgahsana Seri
Perdana.
Dalam
UMNO, kerusi nombor dua masih lagi dipegang oleh Muhyiddin. Zahid juga
tidak boleh percaya sepenuhnya kepada Najib untuk memberi laluan "smart
tag" kepadanya kerana masih ada Hishammuddin Hussein, sepupu Perdana
Menteri sebagai pesaingnya.
Selain
itu, di luar UMNO dan melalui tekanan Tun Mahathir, lebih banyak
perancangan yang sukar dijangka untuk mengenepikan Najib daripada
kedudukannya.
Maka, tidak mustahil lebih banyak lagi "bom asap" akan diletupkan Zahid selepas ini.
Tujuan
Zahid membaling "bom asap" mengenai wujudnya usaha menggulingkan
kerajaan ini jika dihalusi disebabkan beberapa faktor. Antaranya, beliau
ingin menyampaikan mesej bahawa kerajaan pimpinan Najib sekarang ini
teramat lemah dan boleh ditukar bila-bila masa saja melalui undi tidak
percaya di Parlimen.
Dengan
itu, Najib akan meletakkan lebih pergantungan kepadanya sebagai
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk memantau serta
mengekang gerakan tersebut. Zahid secara tidak langsung memberitahu
kedudukan kerajaan yang lemah itu adalah disebabkan isu-isu yang
membeliti Najib sendiri.
Sementara
kasih sayang Najib diharapkan lebih tertumpah kepadanya melalui
pendedahan itu, Zahid dalam masa yang sama juga dapat mengukuhkan lagi
kedudukannya melalui kelam kabutnya orangramai disebabkan "asap" itu.
Zahid
bukan saja anak didik Anwar Ibrahim, tetapi cara gaya berpolitiknya
juga tidak banyak berbeza dengan bekas Ketua Pembangkang itu. Bagaimana
beliau mengumpul dan menjaga kekuatan sokongannya dalam UMNO adalah sama
seperti Anwar dahulu. Jika Anwar suka pegang janggut orang bila bertemu
kenalan lamanya, selain pegang janggut, Zahid pula kerap "cucuk perut"
untuk menunjukkan keakrabannya.
Selain
itu, tindakan Zahid mendedahkan wujudnya usaha menggulingkan kerajaan
ini juga bertujuan menyindir Najib dan mengingatkannya tentang "karma"
yang pasti menimpa berikutan Najiblah yang mengetuai gerakan
menggulingkan kerajaan Perak pimpinan Nizar Jamaluddin pada 2009 dahulu.
Dengan
kata lain, kalau ikut lenggok cakap orang Bagan Datoh, maksudnya ialah
"dulu kau gulingkan orang, kali ini tunggulah kau kena guling pulak."
Zahid
hakikatnya tahu menukar kerajaan melalui undi tidak percaya di Parlimen
adalah "halal" dan dibenarkan oleh perlembagaan. Tetapi di Perak
dahulu, usul tidak percaya itu tidak dibawa pun ke sidang DUN, hanya
dipersembahkan kepada Istana Perak saja.
Sambil
mengingatkan itu, Zahid juga sebenarnya ingin menakut-nakutkan Najib
akan ketentuan Tuhan yang selalu "bayar cash" semua dosa dan kecurangan
di dunia ini lagi.
Lebih-lebih lagi Zahid juga tahu Najib turut menghadiri Malam Doa Untuk Malaysia di Dataran Merdeka pada malam tadi.
Untung-untung
Najib jadi takut dan terganggu fikirannya, tambahan lagi beban 1MDB dan
isu RM2,600 juta jauh lebih berat lagi bahananya di sisi Tuhan, lalu
mungkin sedia menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepadanya.
Jika ini tidak berjaya menggugat Najib, tunggulah "bom asap" seterusnya lagi daripada Zahid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan