Sabtu, 15 Ogos 2015

Jangan malu jalani pemeriksaan payudara

Oleh: LIZAWATI MADFA


SUBANG JAYA: Golongan wanita digesa untuk lebih bersikap terbuka dan tidak malu untuk menjalani pemeriksaan payudara, kata Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh

Hannah, berkata pemeriksaan itu penting dijalankan dalam usaha mengesan awal sebarang jangkitan atau penyakit terutama kanser payudara.

Katanya, golongan wanita perlu sedar kanser pembunuh wanita itu menyerang tanpa mengenal usia, status dan latar belakang.

hannah“Saya dapati kebanyakan wanita masih lagi kurang memberikan perhatian untuk menjalani pemeriksaan, sama ada mereka malu atau takut.

“Tetapi mereka perlu ingat, kanser ini tidak ada pengecualian, ibu yang menyusukan anak juga tidak terkecuali daripada dijangkiti. Mereka perlu bertindak untuk diri sendiri dan keluarga tersayang,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika menghadiri Program Kesedaran Kanser Payudara anjuran tadika Real Kids dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia, di USJ12, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Hannah yang juga Adun Subang Jaya memuji usia Real Kids melangkah ke hadapan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan wanita.

“Sebagai tadika, usaha murni sebegini harus dijadikan contoh kepada pihak lain untuk mendedahkan ilmu sivik kepada golongan kanak-kanak. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya,” katanya.
-NFN-

Tiada ulasan: