Ahad, 16 Ogos 2015

Isu 1MDB perlu selesai demi kredibiliti Umno

SINAR HARIAN


Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin (tengah) bergambar kenangan bersama veteran Umno selepas menerima sijil penghargaan masing-masing pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar hari ini. - Foto Bernama


PADANG BESAR - Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu diselesaikan bagi memastikan kredibiliti Umno tidak terjejas, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Justeru, katanya, biarpun siasatan terhadap transaksi syarikat pelaburan strategik negara itu akan memakan masa namun ia perlu diteruskan bagi mencari penyelesaian.

"Yang penting bukan individu tetapi institusi (parti) itu sendiri. Dalam proses siasatan dan mencari keadilan, jangan ada pihak-pihak tidak berdosa menjadi mangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar di Beseri, dekat sini, hari ini.

Menyentuh mengenai penerangan parti itu mengenai isu 1MDB dan sumbangan derma RM2.6 bilion dalam dana politik kepada anggota di peringkat umbi, beliau berkata mereka dapat menerima penjelasan parti berhubung isu tersebut.

"Cuma janji kita pada ahli dan rakyat bahawa isu-isu ini mesti diselesaikan dan siasatan terhadap 1MDB memakan masa," katanya.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, menegaskan bahawa fokus penting pada ketika ini ialah langkah-langkah strategik bagi menangani kedudukan ekonomi negara, kejatuhan nilai Ringgit dan harga komoditi. - Bernama

Tiada ulasan: