Ahad, 23 Ogos 2015

Homestay JKKK Sungai Haji Dorani perkenalkan kampung kepada pelawat.





Oleh : Awang Saribu.

SUNGAI BESAR ( Selangor ) – Selepas penubuhannya kira-kira enam tahun lalu, kini Homestay JKKK Kampong Sungai Haji Dorani boleh berbangga kerana matlamat penubuhannya telah tercapai dan turut menarik minat kalangan penduduknya menubuhkan homestay atau inap desa masing-masing.

Pada masa ini terdapat tujuh pengusaha homestay telah wujud dan beroperasi di kampung itu dan berjaya mengatasi kekurangan rumah penginapan pelawat dari luar daerah yang ingin menginap di kampung berkenaan atau di kampung-kampung berhampiran , bagi tujuan lawatan atau ziarah sanak saudara dan kenduri kendara.

Ketua Kampong Sungai Haji Dorani yang juga selaku penasihat kepada Homestay JKKK, Encik Mat Ismail Basir berkata penubuhan homestay dibawah kelolaan Biro Pelancongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung  (JKKK) bermula dengan kehadhiran sebuah rombongan pengantin dari negeri Utara Malaysia ke kampungnya pada masa dulu.

“ Mereka datang ke kampung kami dengan sebuah bas kerana  menghantar rombongan pengantin ke sini. Oleh kerana masalah tertentu, mereka tidak dapat menginap di resort yang ada di kampung ini, kemudian  meminta kerjasama JKKK untuk membenarkan mereka ‘ menginap ‘ di Balai Khidmat JKKK.

Pelawat dari kalangan murid sekolah sedang mandi berkubang di taliar sekundar kawasan perairan Mini Estet Padi Kampong Sungai Haji Dorani

“ Menyedari kesulitan  dihadapi oleh rombongan pengantin tersebut yang terpaksa menginap di Balai Khidmat JKKK dengan tidak ada kemudahan dan kelengkapan tidur, pihak JKKK telah mengambil daya usaha menubuhkan homestay yang dikenali dengan Homestay JKKK, “ katanya.

Menurut beliau, penubuhan dan pengelolaannya telah diserah kepada Ketua Biro Pelancongan yang juga selaku Penyelia Homestay JKKK , Haji Ab.Jalil Ambot, seorang pengasas dan bekas pemimpin belia MAYC kampung tersebut yang mempunyai berpengalaman dalam bidang pelancongan.

 
Penyelia Homestay JKKK, Haji Ab.Jalil ( kanan ) , memberikan penerangan kepada seorang ketua rombongan pelawat yang datang ke Kampong Sungai Haji Dorani.  

Atas usaha gigih beliau, ujar Encik Mat Ismail, rumah-rumah penduduk yang besar tetapi penghuninya hanya didiami oleh kalangan ibu tunggal atau  suami isteri sahaja, telah didaftarkan sebagai rumah Homestay  JKKK.

Aktiviti jalan malam di kawasan sawah padi menjadi pilihan pelawat yang mengikuti pakej lawatan dan bermalam. 

Selain itu , beberapa orang pengusaha  makanan yang ada di kampung itu juga telah diberikan galakan dan bimbingan oleh beliau untuk dijadikan sebagai tempat-tempat  lawatan para pelawat yang datang . Ini termasuk juga memperkenalkan kepada pelawat kawasan pertanian ‘ Mini Estet Padi ‘ ,  Pantai Sungai Haji Dorani dan juga pasar petang yang diadakan pada setiap hari di kampungnya.

Beliau menjelaskan lagi, Homestay JKKK ditubuhkan tidak semata-mata bermatlamatkan kepada keuntungan kewangan kepada JKKK sahaja, malah lebih kepada usaha membantu kejayaan dan memperkenalkan perusahaan makanan tempatan kepada pelawat  luar .

“ Tidak secara langsung juga Homestay JKKK berjaya membuka peluang kepada penduduk terlibat untuk mendapatkan sumber kewangan tambahan dari penggunaan rumah kediaman mereka atau menyediakan makanan kepada pelawat.

Aktiviti melawat kampung dengan menaiki ' gerabak motor ' menjadi kegemaran ramai pelawat Homestay JKKK.

“ Selain itu, ia juga turut berperanan memperkenalkan daerah Sabak Bernam kepada umum dengan membawa pelawat ke tempat-tempat terpilih di daerah ini . Seperti Muzium Pertanian dan Perikanan,  Mini Muzium Wak Surgi , tempat bersejarah dan rekreasi serta perusahaan-perusahaan  makanan di kampung-kampung lain . “ tambah beliau.

 
Aktiviti naik sampan di dalam parit sawah

Katanya, untuk tujuan  tersebut Homestay JKKK telah mewujudkan beberapa jenis pakej lawatan kepada pelawat yang datang berkunjung. Di antaranya ialah pakej lawatan sehari, pakej lawatan dua hari atau tiga hari dan bermalam, pakej Hari Keluarga , pakej membeli belah perusahaan IKS , pakej rekreasi di pantai, pakej kajian ( ekonomi dan kebudayaan penduduk ) dan juga  pakej makan minum  mengikut selera kampung.

“ Semua jenis pakej lawatan terbuka kepada orang ramai terdiri daripada kalangan pelajar sekolah dan penuntut pengajian tinggi, kelab atau persatuan, jabatan kerajaan dan orang perseorangan/ keluarga  ,“ katanya.

Berehat sambil mencari kerang di Pantai Sungai Haji Dorani.
  
Menurut beliau, orang ramai boleh mendapat maklumat lengkap Homestay JKKK dengan melayari  http://homestayjkkk.blogspot.com/ atau terus menghubungi penyelianya di talian 019-911 4470.


 

Tiada ulasan: