Jumaat, 14 Ogos 2015

Harapan Baru sedia cabar Pas dalam pilihan raya

Harapan Baru sedia cabar Pas dalam pilihan raya
Sidang media penubuhan Harapan Baru Selangor, hari ini. – Foto Sinar Harian


SHAH ALAM - Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) bersedia menentang Pas dalam pilihan raya sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.

Penyelaras Harapan Baru Selangor, Ir Izham Hashim berkata, kesediaan menentang Pas bukannya bermaksud Harapan Baru akan mencabar setiap kerusi yang ditandingi Pas sebaliknya bergantung pada rundingan masa depan bersama Pakatan 2.0 iaitu PKR dan DAP.

“Saya tidak boleh kata secara khusus Harapan Baru akan mencabar setiap kerusi ditandingi Pas. Saya tidak mahu disalah tafsir sedemikian.

“Ia bergantung pada keadaan jika boleh kita cuba untuk minimumkan masalah kerana matlamat utama menumpaskan BN,” katanya ketika sidang media mengumumkan penubuhan Harapan Baru Selangor di sini, hari ini.

Beliau yang masih menjawat posisi Yang Dipertua Pas Kelana Jaya menjelaskan, tidak adil sekiranya dikonklusikan bahawa Harapan Baru akan mengasak setiap kawasan yang ditandingi Pas.

“Itu seperti orang dendam, orang marah. Tidak...Tidak.. Kita (Harapan Baru) bukan begitu, konsensus pakatan baharu akan dipertahankan.

“Bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pertembungan dengan Pas akan berlaku dalam pilihan raya akan datang. Bergantung pada keadaan dan keperluan situasi akan datang,” katanya.

Ir Izham menegaskan selagi Harapan Baru tidak dibentuk sebagai parti politik pada 31 Ogos ini mereka masih lagi ahli Pas.

Bagaimanapun menyerahkan kepada tindakan yang bakal diambil Pas sama ada untuk memecat mereka atau tidak selepas parti progresif itu terbentuk.

“Sedia dipecat Pas? Itu kita serah kepada parti, buat masa ini kita masih beroperasi sebagai sebuah gerakan rakyat dan masih ahli Pas.

“Pas Selangor belum hantar sebarang surat rasmi untuk tindakan namun berlaku penyingkiran dalam kumpulan perbualan di aplikasi WhatsApp sekiranya  mereka mengesyaki individu terbabit cenderung ke arah Harapan Baru,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Harapan Baru tidak akan sesekali memujuk, membeli, memaksa mahupun memancing Adun Pas untuk menyertai gerakan baharu berkenaan.

“Wujud dikalangan Adun Pas Selangor yang secara tidak terbuka menyatakan minat untuk menyertai Harapan Baru.

“Mereka boleh fikir sendiri demi kerjaya politik pada masa akan datang. Kita perlukan alternatif dalam usaha mengembalikan Pakatan 2.0,” katanya.

Sementara itu, Adun Hulu Klang, Saari Sungib tegas mempertahankan bahawa tindakan ahli Pas menyertai Harapan Baru tidak sesekali melanggar baiah Pas kerana mereka masih mendukung perjuangan menghapuskan Umno-BN.

“Baiah itu dari segi konteks pilihan raya kalau lompat parti, pindah parti ke BN barulah langgar baiah.

“Masuk Harapan Baru tidak langgar baiah ini gerakan ke arah parti baharu. Malah komitmen parti ini ilah menumbangkan Umno-BN, kita masih kekal lawan Umno ini bukan tindakan pindah parti yang salah,” katanya.


Tiada ulasan: