MALAYSIAKINI
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata anggota parlimen dan
ADUN PAS yang bertindak menyertai parti lain perlu mengosongkan kerusi
yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum lalu.
Beliau berkata
tindakan tersebut perlu kerana mereka telah berbaiah semasa menerima
tawaran bertanding menjadi wakil rakyat, lapor Mingguan Malaysia hari ini.
Laporan
itu juga menyebut Hadi berkata kini terpulang kepada maruah pemimpin
itu untuk mengosongkan kerusi masing-masing seperti yang dijanjikan.
"Mengikut perlembagaan parti, keahlian mereka gugur secara automatik jika mereka menyertai parti lain.
"Terpulang
kepada mereka kerana mereka maklum dan mengetahui mengenai baiah yang
dibuat. Sepatutnya kena kosongkan kerusi jika sudah menyertai parti
lain," katanya seperti dilapor akhbar itu.
Beliau mengulas
beberapa pemimpin dan ahli PAS yang terlibat menubuhkan parti Islam baru
yang dijangka diumumkan pada 31 Ogos depan. Dilaporkan parti Islam itu
dikenali Parti Amanah Rakyat.
Dalam laporan itu juga, Hadi berkata
PAS masih lagi menjadi parti yang kuat dan terus mendapat sokongan
pelbagai lapisan masyarakat termasuk kumpulan profesional.
Laporan
itu menyebut, Hadi berkata PAS menerima 9,000 permohonan keahlian baru
tetapi buat masa ini sebanyak 6,000 yang mampu diproses dan PAS boleh
bangkit menjadi parti Islam yang kukuh seterusnya mendapat sokongan dari
dalam dan luar negara.
"Kita pernah menghadapi cabaran yang lebih
besar, daripada ini oleh itu kita perlu sentiasa istiqamah dan yakin
bahawa Islam adalah penyelesai masalah dan penyelamat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan