SHAH ALAM, Gerakan Harapan Baru (GHB) dijangka akan mengumumkan sama ada menjadi sebuah parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Pengerusinya, Salahuddin Ayub berkata harapan GHB bagaimanapun lebih tertumpu kepada penubuhan sebuah parti politik dengan nama baru.

“Ada sebahagian berpandangan kami kekal sebagai NGO dan sebahagian besar yang lain mahu kami menyertai sebuah parti politik baru.

“Ini dilihat lebih mudah untuk membuat keputusan penting dalam mengukuhkan dan membina kembali Pakatan Rakyat. Ini adalah usaha terakhir kami (tubuh parti politik) untuk kami laksanakan sebelum akhir bulan ini, akan ada parti baru,” katanya ketika ditemui pada Program Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI 15) yang dianjurkan buat pertama kalinya GHB di di sini, hari ini.

Salahuddin berkata GHB masih lagi menunggu keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk memberikan kelulusan menubuhkan sebuah parti politik.

Sama ada keanggotaan GHB ini kelak dilihat sebagai parti serpihan Pas, dan tuduhan mengatakan ‘mencuri’ ahli Pas, Salahuddin menjelaskan, pengerak GHB tidak akan terperangkap dengan persepsi sebahagian masyarakat.

“Ini semua persepsi rakyat yang melihat GHB adalah serpihan Pas. Ia bukan sesuatu perkara yang harus memerangkap kami sedangkan sekumpulan besar masyarakat sedang menyokong kami.

“Saya yakin jelajah seluruh negara (roadshow)  yang mendapat sambutan kebanyakan penyokong di kalangan aktivis yang mahu bersama dalam perjuangan dan ketika ini ada pasaran (keahlian) yang lebih luas sebagai menjawab tuduhan GHB mencuri ahli Pas.

“Bayangkan sekiranya ahli Pas ada 1 juta, ahli UMNO ada 3 juta yang lain katalah 5 juta termasuk rakyat Malaysia 30 juta dan pengundi baru 3 juta. Kami lebih mendekati kepada pengundi baru dan terbuka kepada ahli bukan islam untuk mencapai sasaran.

“Jadi tiadapun usaha terancang untuk mencuri parti lain dengan sambutan yang diberikan dalam pasaran baru ini,” jelasnya.

Salahuddin turut memaklumkan GHB akan menyertai Bersih 4.0 yang akan diadakan pada 30 Ogos nanti.
Penganjuran himpunan Bersih 4.0 bertujuan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan dan memulakan reformasi kerajaan bagi menghentikan semua bentuk rasuah menteri sejak era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga sekarang.

Himpunan Bersih 4.0 dijadualkan bermula pada jam 2 petang pada 29 Ogos sehingga 2 petang pada 30 Ogos, membabitkan jalan utama di Kuala Lumpur, diikuti himpunan di beberapa negeri seperti Kuching dan Kota Kinabalu, serentak pada tarikh yang sama.