Sabtu, 15 Ogos 2015

GHB terbuka kepada bukan Islam - Salahuddin Ayob

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Gerakan Harapan Baru (GHB) mengajak bukan Islam untuk menyertai parti baru itu yang bakal dirasmikan sebelum sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos ini, namun imej dan dasar bukan Islam itu masih dikekalkan.
 
Timbalan Pengerusi GHB Salahuddin Ayob memberitahu, setakat ini masih belum diputuskan samada gerakan itu kekal sebagai NGO atau didaftarkan sebagai parti politik.
 
Tetapi apa yang pasti ujarnya, sebahagian daripada pemimpin progresif PAS akan menyertai gerakan berkenaan.
 
"Ia juga dibuka pada bukan Islam, tapi kami kekalkan dasar Islam. Tentang nama, kita tunggu satu sidang akhbar akan dipanggil.
 
"Terpulang nanti sekiranya ada di antara kami yang ingin ataupun ada pandangan GHB perlu kekal sebagai NGO, tapi yang pastinya sebahagian kami akan menyertai parti baru itu," katanya pada sidang di Shah Alam, hari ini.
 
Bekas ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal itu berkata, pengunduran kumpulan progresif dari PAS untuk menyertai parti baru tersebut adalah untuk memperkasakan Pakatan Rakyat pilihan raya umum akan datang.
 
"Itu lebih mudah untuk kita buat keputusan penting, dan kita rasakan perlu diisi dalam kelompangan untuk memperkukuhkan atau membina kembali Pakatan Rakyat.
 
"Itu adalah di antara usaha-usaha terakhir yang kami binakan dan ini serius untuk kita buktikan sebelun akhir bulan ini kita akan buat parti baru," katanya.
 
Beliau dalam pada itu berkata, GHB akan terus memberi fokus kepada pembentukan sebuah parti baru walaupun pelbagai tomahan dilemparkan kepada mereka.
 
"Sebenarnya itu adalah persepsi yang rakyat lihat tetapi pada hari ini kita menyaksikan ia bukan sesuatu yang kami harus terperangkap dan berlengah dengan persepsi itu.
 
"Yang ada di hadapan kami adalah kumpulan masyarakat daripada semua golongan yang menyokong kami dan ini terbukti apabila ada banyak penyertaan daripada ustaz yang menyokong dan bersama-sama kami, itu belum lagi kami memperincikan sokongan orang ramai kepada pertunjukkan jalanan yang sedang kami buat dan minggu hadapan akan berakhir di Kedah selepas Terengganu," katanya.
 
"Ini membuktikan bahawa  kami mendapat sokongan daripada seluruh lapisan masyarakat dari seluruh negara. Tentang persepsi serpihan itu tidak perlulah saya melayaninya.
 
"Biarlah rakyat menilainya sendiri sama ada parti serpihan atau tidak tetapi yang penting mengisi ruang yang kita perlu isi untuk memperjuangkan aspirasi rakyat yang begitu penting hari ini," katanya lagi.
 
Pada 13 Julai lau, satu parti politik baru diterajui pemimpin progresif dalam parti PAS yang kalah semasa pemilihan parti awal Jun lalu diumumkan penubuhannya pengerusi parti tersebut, Mohamad Sabu.
 
Mohamad atau yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata, parti yang dinamakan sebagai Gerakan Harapan Baru itu dilihat sebagai satu platform untuk menggerakkan semula kerjasama parti politik di pihak pembangkang.
 
 

Tiada ulasan: