Sabtu, 22 Ogos 2015

Empat sekeluarga maut sekelip mata

Empat sekeluarga maut sekelip mata
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
 
 
KOTA TINGGI - Empat sekeluarga termasuklah seorang bayi berusia empat bulan maut selepas kenderaan jenis Proton Wira yang dinaiki melanggar sebuah lori Hino yang hilang kawalan dalam kejadian di Kilometer 55.5 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran Felda Air Tawar 2, tengahari tadi.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu menyebabkan kesemua mangsa, Mohd Najib Mat Idris, 29, (suami), isterinya, Mahfuzah Abdul Hamid, 29, serta dua anak, Nabiha, 1, dan Mohd Anas, empat bulan maut di tempat kejadian.
 
Manakala, penumpang belakang, adik kepada Mahfuzah iaitu Mahirah Huda, 22, yang bekerja sebagai jurukira wang mengalami cedera parah di bahagian muka dan dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi (HKT).
 
Bapa mangsa, Abdul Hamid Rais, 70, berkata dia mendapat berita kejadian itu daripada salah seorang anaknya di mana ketika kejadian dia sedang berada di Johor.
 
Menurutnya, anaknya Mahfuzah, menantu dan cucu setiap minggu balik ke rumahnya di Felda Air Tawar 2 untuk menziarahi dia dan isteri.
 
"Suaminya bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Senibong manakala Mahfuzah anak ke lapan dari 13 beradik tidak bekerja. Adiknya pula Mahirah bekerja di Bank Negara di Johor.
 
"Mereka tidak memaklumkan mahu balik pada hari ini tetapi setiap minggu menjadi rutin mereka pulang menjenguk kami. Tambahan pula cucu yang berusia setahun itu sangat manja dengan neneknya.
 
"Namun sekarang dah tak ada lagi cucu cantik molek, tak ada yang menghiburkan lagi," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKT.
 
Tambahnya, kali terakhir dia berjumpa anak cucunya itu pada minggu lepas di mana mereka berkelakukan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan.
 
Dia juga difahamkan, sebelum kejadian Mahfuzah mengambil adiknya dahulu menaiki kenderaan yang sama untuk pulang ke kampung sebelum terlibat dengan kemalangan tersebut.
 
Katanya, ke empat jenazah termasuk suami anaknya yang berasal dari Terengganu akan dikebumikan di dalam satu liang lahad dekat Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 2.
 
Terdahulu, turut hadir melawat keluarga mangsa di HKT, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor merangkap Adun Johor Lama, Asiah Md Ariff; Adun Sedili, Rasman Isnin dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Tinggi, Muhammad Fadzli Hasan.
 
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman mengesahkan kejadian.
 
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang datang dari arah Sungai Rengit menghala ke Kota Tinggi telah hilang kawalan selepas membrek sehingga mengakibatkan kepala lori masuk ke laluan bertentangan.
 
Menurutnya, ekoran itu juga telah menyebabkan Proton Wira yang datang dari arah Kota Tinggi menghala ke Felda Air Tawar 2 melanggar bahagian sendi tanker lori terbabit.
 
"Akibat dari kemalangan itu pemandu, penumpang hadapan dan dua orang kanak-kanak di dalam kenderaan terbabit telah meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala seorang penumpang belakang mengalami cedera dan dirawat di HKT.
 
"Hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan jalan dua hala terdapat garisan putus-putus di tengah jalan sebagai pembahagi jalan. Siasatan awal juga mendapati kemalangan berpunca dari lori  kerana hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan," katanya.
 
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
 

Tiada ulasan: