KUALA LUMPUR, Penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau lebih dikenali sebagai Vapor adalah haram berdasarkan daripada kenyataan dan juga nas.


Perkara itu disahkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Menurutnya, hukum merokok terpakai untuk isu rokok elektronik kerana qiyas kepada rokok sebenar, kenyataan pakar menunjukkan ia mudarat bahkan boleh jadi lebih mudarat daripada merokok itu sendiri.

Malah, katanya, ia merupakan asas pertimbangan yang amat kuat kerana mafsadahnya atau keburukannya tidak boleh disangkal lagi serta mudaratnya telah diperakui oleh pakar dan badan-badan berkuasa.

“Merokok satu pembaziran, meniru budaya yang bukan Islam dan dilihat tidak bermaruah serta terdapatnya fatwa ulama yang menyokong tentang pengharaman rokok elektronik ini.

“Justeru, kami berpendapat seperti itu juga. Kami nyatakan di sini fatwa yang dikeluarkan menyatakan hukumnya sama seperti hukum rokok biasa. Justeru, hukumnya adalah haram,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Mufti Wilayah Persekutuan dan laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), hari ini