MALAYSIAKINI
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini berkata parti itu menerima
cabaran Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak bagi mendedahkan maklumat
mengenai dana politik masing-masing.
Bercakap di satu majlis di Tanjung Bungah di Pulau Pinang, Lim
menyebabkan hadirin ketawa apabika berkata, Najib mungkin berfikir parti
itu sedang bermain guli dan melontarkan cabaran kepada DAP.
"(Najib berkata) Kamu tunjukkan kepada saya kamu punya dulu, kemudian
saya akan tunjukkan saya punya? Apa jenis perdana menteri macam ni?"
kata Lim disusuli gelak ketawa orang ramai.
Najib ketika menepis tuduhan salah laku dana awam sebelum ini mengaku
menerima dana RM2.6 bilion dari luar ke akaun persendiriannya.
Mendakwa ia adalah untuk kegunaan parti, perdana menteri kemudian
berkata, Umno boleh mendedahkan maklumat kewangan sumbangan dananya
dengan syarat parti pembangkang melakukan perkara sama.
Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, sebagai kerajaan
negeri yang menjalankan pentadbiran telus DAP tidak takut untuk
mendedahkan sebarang dana sumbangan yang diterimanya.
Katanya, ketua menteri, ahli dewan undangan negeri dan ahli parlimen di
Pulau Pinang mengisytiharkan harta masing-masing mengikut tempoh
ditetapkan sejak 2008 setelah mereka merampas negeri itu daripada BN.
"Kami telah menunjukkan segala-galanya. Jika (anda) mahu tunjuk, tunjuklah. Kami tidak takut.
"Kita boleh duduk semeja dan tunjuk. Bendahari kami adalah Fong Kui Lun
(Ahli Parlimen Bukit Bintang). Adakah anda rasa dia takut untuk
dedahkan?
"Kami menerima cabaran daripada Najib," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan