Ahad, 16 Ogos 2015

Dakwaan guling k'jaan, Mahfuz selar Zahid

MALAYSIAKINI


 


MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyelar dakwaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berhubung dakwaan terdapat gerakan menjatuhkan kerajaan dengan sokongan ahli parlimen pembangkang melalui akuan bersumpah (SD).

Mahfuz berkata, dakwaan Zahid yang juga menteri dalam negeri, itu tidak berasas memandangkan beliau selaku ahli parlimen pembangkang tidak mengetahui mengenai gerakan serta SD itu.

"Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi tiba-tiba menimbulkan kononnya wujud SD untuk menjatuhkan kerajaan yang sedang diusahakan oleh pihak tertentu dalam Umno untuk mendapat sokongan ahli-ahli parlimen pembangkang.

"Sedangkan saya sebagai Ahli Parlimen Pembangkang sendiri tidak mengetahuinya," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Semalam, ketika merasmikan mesyuarat Umno Ampang, Zahid mendakwa terdapat seorang pemimpin Umno kini sedang mengetuai gerakan menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang dengan sokogan ahli parlimen pembangkang.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, terdapat usaha mendapatkan SD di kalangan ahli parlimen pembangkang serta menarik ahli parlimen BN supaya menumbangkan kerajaan.

Mahfuz berkata sekiranya wujud usaha tersebut, maka perkara itu tidak menyalahi Perlembagaan negara memandangkan BN sebelum ini pernah melakukan perkara sama di Perak.

Beliau turut berkata tindakan Zahid yang juga naib presiden Umno mendedahkan wujudnya gerakan itu menunjukkan kebimbangan beliau jika menjadi timbalan perdana menteri yang paling singkat.

Mahfuz berkata kenyataan Zahid itu juga memberi isyarat kepada pemimpin Umno supaya terus menekan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar melepaskan jawatan secara terhormat bagi mengelak berdepan undi tidak percaya.

"Zahid mengguna kaedah psikologi yang cukup mendalam kononnya demi Umno, Najib kena berundur.

"Hakikat sebenar ialah demi untuk beliau tidak menjadi timbalan perdana menteri paling singkat, sekaligus upaya melangkah lebih jauh mengintai peluang untuk menjadi PM paling tidak pun sampai PRU 14," kata Mahfuz. 


Tiada ulasan: