Sabtu, 8 Ogos 2015

Berhenti desak Muhyiddin letak jawatan

 SINAR HARIAN


Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
 
 
BERA - Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini, meminta segelintir ahli parti supaya berhenti mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai timbalan presiden.

Katanya, tindakan Muhyiddin untuk kekal menjawat jawatan itu juga tidak melanggar undang-undang mahupun peraturan parti.
  
"Pada saya, beri sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden dan Muhyiddin sebagai timbalan presiden juga perlu beri sokongan sebagai satu pasukan.
  
"Tak payah suruh letak jawatan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Bera di Kompleks Rakan Muda Bera di sini, hari ini.
  
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Ketua Wanita Umno Bera, Zanariah Sahadan; Ketua Pemuda Umno Bera, Mohd Zoolihsan Ahmad dan Ketua Puteri Umno Bera, Salmiah Abdul Rahman.
  
Shahrizat mengulas kenyataan Muhyiddin yang menegaskan tidak akan meletak jawatan meskipun ada desakan daripada ketua bahagian parti supaya beliau berbuat demikian.
  
Berhubung perkara ini, Shahrizat berkata, isu ini bukan perkara baharu dan beliau berpandangan ahli Umno perlu memberikan ruang kepada kedua-dua tokoh itu dan tidak melayan desakan itu. - Bernama


Tiada ulasan: