OLEH MD IZWAN
Keputusan
membatalkan jemputan kepada Datuk Seri Najib Razak daripada merasmikan
mesyuarat Bahagian Umno Semporna adalah bagi mengelak daripada berlaku
insiden yang boleh menjatuhkan air muka presiden parti itu, kata Ketua
Penerangan Razak Sakaran (gambar, kiri).
Razak bimbang sekiranya penyokong Umno di situ hilang kawalan dan
bertindak luar kawalan jika mereka meneruskan jemputan tersebut.
"Kita menghormati presiden parti, kita menghormati kehendak majoriti ahli parti di bahagian ini.
"Ia bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan kita
bimbang perasaan ahli tidak terkawal ketika presiden berucap sehingga
beliau menerima tohmahan dan ‘diboo’ ahli parti di mana ia juga boleh
menjatuhkan air muka pemimpin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Razak sebelum itu mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Umno Cawangan
di Bahagian Semporna bagi membincangkan mengenai isu tersebut.
Di samping itu, Razak menjelaskan kehadiran Najib tidak sesuai dengan
senario semasa dan bagi mengelak berlaku perpecahan dalam parti itu
sendiri.
"Selain itu, kami berpandangan kehadiran beliau (Najib) tidak sesuai selaras senario semasa," katanya.
The Malaysian Insider baharu ini mendedahkan keputusan Umno Bahagian
Semporna membatalkan jemputan kepada Najib selepas menyingkirkan Datuk
Seri Mohd Shafie Apdal, yang turut digugurkan daripada Kabinet selain
Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tindakan itu mengundang pelbagai kritikan dan rasa tidak puas hati
daripada penyokong Umno di Semporna kerana Shafie juga merupakan ketua
bahagian mereka.
Razak juga membidas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul
Rahman Dahlan yang mendakwa Umno Bahagian Semporna bergolak, sebaliknya
menegaskan mereka masih setia menyokong parti dan Shafie sebagai naib
presiden dan ketua bahagian.
Dalam perkembangan sama, Razak juga berkata ahli Umno dan rakyat di
Semporna terkilan dengan kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin
yang mengatakan pembatalan jemputan kepada Najib itu adalah atas faktor
keselamatan kerana daerah tersebut dihuni lanun.
"Sebagai pemimpin tertinggi parti kedua-dua pemimpin ini (Rahman dan
Khairy) seharusnya tidak memberikan gambaran buruk sehingga mewujudkan
persepsi Umno bahagian ini (Semporna) bergolak dan tidak selamat kerana
dihuni oleh lanun," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan